Kebakaran tahfiz Datuk Keramat tak jejas pendaftaran pelajar baru


Muzliza Mustafa

Saya terima beratus panggilan daripada ibu bapa yang bertanya bagaimana hendak masukkan anak mereka di pusat ini. Saya tanya mereka, tak takut ke selepas apa yang berlaku? Mereka kata orang boleh mati bila-bila masa tetapi lebih baik mati dalam jalan diredhai Allah, kata Pengetua Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2017.

RATUSAN ibu bapa mahu mendaftarkan anak mereka di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang sebelum ini dibakar sehingga mengorbankan 19 pelajar dan dua orang guru dua bulan lalu, kata Pengetua Mohd Zahid Mahmood.

“Saya terima beratus panggilan daripada ibu bapa yang bertanya bagaimana hendak masukkan anak mereka di pusat ini.

“ Saya tanya mereka, tak takut ke selepas apa yang berlaku? Mereka kata orang boleh mati bila-bila masa tetapi lebih baik mati dalam jalan diredhai Allah,” katanya ketika ditemui di Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Zahid berada di sana kerana tugasnya selaku pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Malaysia (Pinta) untuk melawat pusat tahfiz di Pulau Pinang dan Kedah yang terjejas kerana banjir.

Katanya sejak tragedi kebakaran itu, pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menerima 50 permohonan rasmi daripada ibu bapa yang mahu mendaftar anak mereka di sekolah itu.

Jumlah itu melebihi kekosongan yang ada di sekolah itu, kata Zahid.

“Kami terima hampir 50 permohonan tetapi kami hanya terima 30 selain 20 pelajar yang kami dah ada sekarang,” katanya.

Zahid berkata yang sesi persekolahan baru pusat tahfiz itu akan bermula pada akhir November atau Disember, bergantung kepada masa siap bangunan baru sekolah itu di Jalan Datuk Keramat yang sedang dibaik pulih sejak awal tahun ini.

Bangunan itu sudah menerima beberapa notis daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur. Pengurusan sekolah akan didenda sekiranya gagal mematuhi notis yang diberikan.

Antara syarat menduduki bangunan itu adalah memasang alat pengesan asap, pemadam api, pengesan haba dan jeriji besi standard untuk tingkap yang diluluskan oleh Jabatan Bomba, kata Zahid.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur juga mengarahkan kami merobohkan beberapa dinding kerana bangunan itu perlu diubah status semasanya (kediaman) kepada institusi,” katanya.

Tambahnya, pengurusan tahfiz sedang berusaha untuk mematuhi arahan itu.

“Ia ambil masa sedikit kerana perlu lebih RM200,000 untuk robohkan struktur fizikal dan membeli dan memasang semua alat itu,” katanya.

Katanya lagi, jika bangunan itu tidak sempat siap menjelang Disember, pelajar dan guru akan dipindahkan ke bangunan lain terletak di Safuan Plaza, Jalan Chow Kit.

Darul Quran Ittifaqiyah dibakar pada 14 September lalu.

Pintu dan dindingnya dibakar menggunakan minyak tanah, tong gas juga digunakan untuk mempercepatkan api supaya marak.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas siasatan mendapati bangunan itu sengaja dibakar.

Tiga pemuda didakwa kerana membunuh dan sedang dibicarakan. – 8 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen