Saya dihalang jumpa suami, kata wanita dakwa sebagai isteri Samy Vellu 


Bede Hong

Meeriam Rosaline Edward Paul mendakwa kali terakhir dia bertemu dengan suaminya adalah di sebuah restoran Secret Recipe di ibu negara pada 13 Jun tahun lalu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Februari, 2020.

WANITA yang mendakwa sebagai isteri kepada S Samy Vellu, Meeriam Rosaline Edward Paul berkata, dia dihalang daripada bertemu suaminya oleh keluarga bekas presiden MIC itu sejak Jun tahun lalu.

Menurutnya, kali terakhir bertemu dengan suaminya adalah di sebuah restoran Secret Recipe di ibu negara pada 13 Jun.

“Saya amat berharap dapat berjumpa suami di sini dan saya tidak pasti siapa yang dia takutkan kerana tidak datang hari ini,” kata Meeriam kepada pemberita selepas pendengaran kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Sehingga kini, saya tidak boleh berjumpa atau bercakap dengan dia.”

Meeriam sebelum ini mendakwa berkahwin dengan Samy Vellu pada 1981.

Mahkamah hari ini mendengar permohonannya untuk menjadi pihak dalam kes saman yang difailkan anak Samy Vellu, S. Vell Paari supaya keadaan mental bapanya ditentukan oleh mahkamah.

Meeriam memohon untuk mendapatkan akses tanpa syarat ke atas Samy Vellu selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan.

Dalam afidavitnya, Meeriam berkata Vell Paari telah mengambil alih kawalan kewangan bapanya sejak 2017 sambil menafikan pembayaran wang nafkah kepadanya.

Vell Paari dalam tuntutannya mengatakan ayahnya telah menderita penyakit Alzheimer sejak dua tahun lalu dan tidak dapat mempertahankan dirinya dalam dua kes undang-undang yang difailkan terhadapnya. – 18 Februari, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen