Keluarga harap Ruth, Joshua ditemui


Noel Achariam

Iman Setiawan Sitepu dan Ram Ram Elisabeth berkata mereka hilang punca ke manakah Ruth menghilang sejak empat tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Februari, 2020.

ADIK-beradik Ruth Sitepu berharap Putrajaya akan membantu mereka mencari jawapan kepada misteri kehilangan kakak dan abang mereka Pastor Joshua Hilmy.

Iman Setiawan Sitepu dan Ram Ram Elisabeth berkata mereka hilang punca ke manakah Ruth menghilang sejak empat tahun lalu.

“Kami harap dapat bertemu dengannya. Kami benar-benar mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada Ruth dan abang ipar kami,” kata Iman yang ditemui selepas pendengaran siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Kedua-dua mereka tiba dari Nambiki, Sumatera Utara semalam dan dijangka pulang esok.

Suhakam menjalankan siasatan awam bagi menentukan jika Joshua dan Ruth adalah mangsa kehilangan paksa.

Ruth dan suaminya itu kali terakhir dilihat pada November 2016, dan hilang tanpa kesan sejak itu.

Menurut Iman, mereka yakin beberapa individu pasti mempunyai maklumat mengenai pasangan itu dan kehilangan mereka.

“Kami bersyukur dengan adanya siasatan ini, dan kami berharap akan mendapat jawapannya.” 

Ram Ram yang tidak dapat menahan air mata berkata dia sangat merindui adiknya itu.

“Selepas berkahwin dengan Joshua, dia selalu menghubungi keluarga. Dia seorang yang bertanggungjawab dan sering mengambil berat tentang kami. Keluarga kami ramai, lebih 50 orang, semua rindukan dia.” 

Terdahulu pada pendengaran hari ini, saksi pertama berkata Joshua dicari oleh jabatan agama sebelum mereka hilang.

Jurujual insurans, Peter Pormannan memberitahu panel siasatan Suhakam, jabatan agama mungkin mencari Joshua kerana menganut Kristian selepas keluar dari agam Islam.

Saksi kedua, Grace Thangamalar berkata pasangan itu kelihatan runsing selepas menerima panggilan telefon sebelum mereka hilang– 18 Februari, 2020.

Anak kepada Peter yang juga rakan pastor itu berkata sepasang suami isteri dari Sabah yang tinggal sekejap dengan mereka memberitahunya mengenai perbualan telefon antara pastor itu dengan seorang individu pada 2016.

“Pasangan dari Sabah itu beritahu saya perbualan itu kedengaran tegang. Mereka dengar Joshua cakap ‘Saya tak ganggu kamu, kenapa kamu ganggu saya?’” katanya pada pendengaran di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur hari ini. – 18 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen