Lebih 500 kes koronavirus dalam kapal persiaran


Kesemua penumpang yang tidak dijangkiti virus berkenaan berharap dapat meninggalkan kapal persiaran berkenaan.– Gambar EPA, 18 Februari, 2020.

88 lagi penumpang kapal persiaran di perairan Jepun disahkan positif koronavirus, kata pihak berkuasa pada Selasa.

Sementara itu, kesemua penumpang yang tidak dijangkiti virus berkenaan berharap dapat meninggalkan kapal persiaran berkenaan.

Kes terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan di kapal persiaran Diamond Princess kepada 542 kes.

Pesakit yang terbaharu itu akan dihantar ke hospital pakar, kata kementerian dalam satau kenyataan, tanpa memberikan butiran lanjut pesakit terlibat.

65 daripada mereka yang diuji positif masih belum menunjukkan gejala virus berkenaan.

Britain menjadi negara terbaharu yang menawarkan warganya untuk keluar daripada kapal berkenaan.

Menurut kerajaan Britain, pihaknya sedang mengatur penerbangan bagi membawa pulang kesemua rakyatnya kembali ke UK.

Kanada, Australia, Hong Kong dan Korea Selatan sudah menyatakan akan membawa keluar warga mereka daripada kapal berkenaan, susulan daripada langkah yang diambil oleh Amerika Syarikat yang membawa pulang kira-kira 300 warganya.

“Kita telah jalankan ujian ke atas semua yang ada di atas kapal berkenaan,” kata Menteri Kesihatan Jepun, Katsunobu Kato.

“Sesetengah keputusan ujian sudah diketahu dan bagi mereka yang bebas daripada virus berkenaan, kami sedang berusaha untuk mengaturkan pemindahan,” katanya.

Dalam surat yang diberikan kepada penumpang, pihak berkuasa menjelaskan keputusan ujian akan mengambil masa justeru proses pemindahan akan dilakukan pada 19 hingga 21 Februari. 

“Sekiranya keputusan ujian anda dan teman sebilik adalah negatif dan tidak demam atau mengalami gejala pernafasan, anda boleh bersedia untuk dipindahkan,” menurut surat berkenaan.

Namun bagi mereka yang didapati positif akan terus dikuarantin sehingga dimaklumkan kemudian. – AFP, 18 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen