KESEMUA 107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga dari Wuhan, China kini dibenarkan pulang selepas tamat menjalani tempoh kuarantin, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata kebenaran pulang itu termasuk dua kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun dan bapa kanak-kanak itu berumur 45 tahun sebelum ini disahkan positif Covid-19.
“KKM ingin memaklumkan bahawa semua 107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Februari 2020, akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Ini setelah mereka menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Menteri itu menjelaskan sampel ulangan bagi rakyat Malaysia dan ahli keluarga tersebut disahkan negatif namun salah seorang daripada mereka sedang menerima rawatan di wad bagi isu kesihatan yang dialami.
Misi Bantuan Kemanusiaan yang digerakkan pada 4 Februari lepas membawa pulang 133 rakyat Malaysia termasuk lapan petugas misi dan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia dari Wuhan China.
Kesemua yang dibawa pulang menggunakan pesawat AirAsia itu dikuarantin selama 14 hari di AKEPT bermula 4 Februari.
Ditanya mengenai rancangan membawa 34 lagi rakyat Malaysia yang masih lberada di Wuhan, Dzulkefly berkata pihaknya kini menunggu laporan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Pihak Nadma sedang uruskan hal itu dan kita tunggu laporan dari mereka, apa pun perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Luar,” katanya.
Dzulkefly berkata tiada tempoh masa yang ditetapkan kerajaan setakat ini untuk membawa 34 rakyat Malaysia tersebut.
Beliau juga mengulangi, dua rakyat Malaysia yang berada di kapal Diamond Princess dan disahkan positif Covid-19 tidak akan dibawa pulang oleh Malaysia.
Dzulkefly berkata Malaysia mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pesakit perlu menerima rawatan di sana.
“Mereka tidak akan dibawa pulang dan akan mendapat rawatan di sana mengikut SOP,” katanya.
Tambahnya tiada kes baru dilaporkan pada hari ini.
Oleh itu katanya jumlah kumulatif kes Covid-19 kekal sebanyak 22 kes dengan 11 kes masih dirawat di wad.
Beliau berkata daripada 22 kes itu, 15 adalah warga China, enam rakyat Malaysia dan seorang warga Amerika Syarikat.
“Dari keseluruhan 22 kes itu,12 kes dalam kalangan kes Patient Under Investigation, PUI, lapan kes dalam kalangan kontak rapat.
“Dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan,” katanya.
Dalam sidang media itu, Dzulkefly juga memaklumkan maklum balas dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau berkata menerusi telesidang bersama ketua pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mencadangkan Malaysia mengukuhkan aktiviti pemantauan influenza dengan menjalani ujian Covid-19 kepada pesakit ‘severe acute respiratory infection’ (Sari) atau jangkitan salur pernafasan. – 18 Februari, 2020.
Komen