Pastor Joshua, isteri runsing selepas terima panggilan telefon, kata saksi


Noel Achariam

Suhakam kini menjalankan siasatan awam bagi menyiasat kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Februari, 2020.

PASTOR Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu kelihatan runsing selepas menerima panggilan telefon sebelum mereka hilang, kata saksi kepada panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Grace Thangamalar berkata sepasang suami isteri dari Sabah yang tinggal sekejap dengan mereka memberitahunya mengenai perbualan telefon antara pastor itu dengan seorang individu pada 2016.

“Pasangan dari Sabah itu beritahu saya perbualan itu kedengaran tegang. Mereka dengar Joshua cakap ‘Saya tak ganggu kamu, kenapa kamu ganggu saya?” katanya pada pendengaran di ibu pejabat Suhakam hari ini.

Grace adalah saksi kedua siasatan awam Suhakam ke atas kehilangan Joshua dan Ruth. Beliau juga adalah anak kepada saksi pertama yang juga rakan Joshua, Peter Pormannan.

Terdahulu, Peter memberitahu panel Joshua mungkin dicari oleh jabatan agama berhubung penukaran agamanya kepada Kristian.

Grace dan abangnya dipelawa tinggal bersama Joshua dan Ruth semasa belajar di kolej dari 2015 hingga 2017.

Pelawaan itu bagi membalas budi Peter yang menumpangkan Joshua dan Ruth rumah di Klang.

Pada pendengaran hari ini juga Grace berkata polis mengambil keterangannya pada minggu lepas.

Saksi berusia 27 tahun itu memberitahu panel siasatan, ini bukan kejadian pertama yang pelik mengenai pasangan itu.

“Pernah sekali, mereka tiba-tiba keluar menaiki kereta. Sebulan kemudian, mereka telefon kami dan bertanya kalau ada sesiapa menelefon atau ada sesiapa buat kacau,” kata Grace.

Pegawai Suhakam kemudian menyoal jika Grace ada bertanya mengapa sudah sebulan Joshua dan Ruth tinggalkan rumah.

Saksi itu berkata Ruth beritahu mereka menerima ugutan dan terpaksa keluar dengan tiba-tiba.

“Semuanya berlaku apabila satu keluarga empat beranak datang tinggal di rumahnya, yang sentiasa menerima sesiapa sahaja tidak mengira kaum, dan ada masanya orang asing.” – 18 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen