Tanpa Amerika, tidak jelas faedah TPPA kepada Malaysia


Sheridan Mahavera Asila Jalil

Amerika Syarikat menarik diri daripada TPPA selepas Presiden Donald Trump berkuasa, meninggalkan 11 negara yang kini masih ingin meneruskan perjanjian ekonomi terbesar dunia itu dikenali sebagai TPP-11. Tetapi faedah perjanjian itu kepada Malaysia tanpa penglibatan Amerika masih tidak jelas, kata Khazanah Research Institute. – Gambar AFP, 8 November, 2017.

TIDAK jelas bagaimana Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP/TPPA) tanpa penglibatan Amerika Syarikat (AS) boleh memanfaatkan Malaysia, kata sebuah institut kajian terkemuka ketika negara terus berusaha memeterai perjanjian itu dengan negara serantau.

Pengarah Urusan Khazanah Research Institute Charon Mokhazani berkata ini adalah kerana manfaat utama TPPA adalah akses khas ekonomi ke dalam pasaran Amerika Syarikat untuk syarikat Malaysia.

“AS adalah ganjaran (dalam TPPA). Tidak jelas bagaimana ketika ini bagaimana perbezaan TPPA 11 dibandingkan dengan TPPA 12,” kata Charon kepada wartawan hari ini.

Di bawah perjanjian asal TPPA atau dikenali sebagai TPP-12, Malaysia akan menerima akses khas kepada empat pasaran ekonomi luar iaitu AS, Kanada, Chile dan Peru.

Perjanjian ekonomi melibatkan 12 negara Asia Pasifik termasuk Malaysia itu akan merangkumi 40% pecahan ekonomi dunia.

Untuk itu, Malaysia perlu melakukan perubahan besar-besaran dalam undang-undang buruh, alam sekitar dan harta intelek serta operasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Perubahan ini, dakwa pengkritik TPPA akan menyekat keupayaan kerajaan selaku pembuat dasar.

AS menarik diri daripada TPPA selepas Presiden Donald Trump berkuasa pada Januari tahun ini.

11 negara yang masih kekal kini masih ingin meneruskan perjanjian itu, kini dikenali sebagai TPP-11 tanpa AS.

“(Dan) ketika ini tidak jelas apakah manfaat sekiranya AS tidak bersama,” kata Charon selepas pelancaran laporan KRI terbaru “Why Trade Matters: Trade Issues in Non-Communicable Diseases, Essential Medicines and Education”.

“Manfaat terbesar daripada TPPA adalah peningkatan perdagangan dengan AS.

“Dengan TPPA 11 tanpa AS, kita perlu kembali mengira manfaat untuk Malaysia kerana salah satu sebab semua orang teruja dengan TPPA adalah akses ke dalam pasaran AS.”

Pada Ogos, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed berkata yang 11 negara yang masih kekal dalam TPPA masih berminat melaksanakan perjanjian itu walaupun tanpa AS.

Negara itu termasuklah Australia, Brunei, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura dan Vietnam.

Mustapa berkata yang 11 negara itu akan berbincang untuk melaksanakan perjanjian itu tanpa AS pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Vietnam minggu ini.

“Kami percaya yang TPP masih bernilai walaupun tanpa penglibatan AS,” kata Mustapa dipetik Japan Times.

Pengarah Kajian KRI Junaidi Mansor mengatakan masih terlalu awal untuk membandingkan antara manfaat TPPA dan TPP-11 kerana syarat TPP-11 masih dalam perbincangan.

“Jadi kami tak tahu apakah perubahan yang akan berlaku pada ketika ini.  Terlalu awal untuk membincangkan hasilnya.”

Laporan KRI terbaru itu adalah yang ketiga tentang siri perdagangan. Ia meneroka hubungan antara dasar perdagangan dengan kesihatan dan pendidikan.

Laporan itu menumpukan kepada tiga bidang utama, bagaimana perdagangan memberi kesan kepada penyakit tidak berjangkit, akses kepada ubat-ubatan asas dan pendidikan.

Tahun depan, KRI akan menerbitkan sebuah lagi kajian mendalam pelbagai aspek tentang perdagangan Malaysia termasuklah cadangan dasar untuk kerajaan. – 8 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen