ABDUL Rahman Dahlan hari ini menafikan kajian kemungkinan jambatan Labuan-Sabah akan menjadi “biasa” dan memberi jaminan projek itu akan diberi keutamaan serta akan dimulakan segera.
Menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (UPE) itu berkata kajian itu penting kerana ia akan menentukan pendekatan terbaik bagi membina jambatan tersebut.
“Ia macam nak bina rumah, semua perlu dirancang dengan teliti terlebih dulu.
“Ada perbincangan tentang sama ada perlu adakan kajian kemungkinan dan mengapa pembinaan tidak dapat dijalankan.
“Kajian terakhir ke atas jambatan itu dilakukan Universiti Malaysia Sabah pada 2010. Bagaimanapun, ia hanya kajian biasa yang merangkumi manfaat adanya jambatan dan ia tidak merangkumi aspek teknikal.
“Sebab itulah kajian kemungkinan ini diperlukan, supaya kita boleh fokus kepada aspek tekonologi dan ekonomi. Kita nak tahu pendekatan terbaik untuk membinanya.”
Beliau berkata UPE telah meluluskan lebih daripada RM14 juta untuk bayaran konsultasi, dan pihak yang akan menjalankan kajian itu akan dilantik pada bulan depan semasa lawatannya ke Labuan bersama beberapa orang lagi dari kementerian-kementerian persekutuan.
“Kajian ini dijangka dimulakan pada tahun depan. Syarikat yang membuat kajian tidak akan mengambil masa yang lama kerana perkara berkaitan dengan jambatan tidak terlalu teknikal.
“Kajian akan meliputi persoalan seperti di mana jambatan harus bermula dan berakhir, dan bagaimana projek itu akan dibiayai iaitu sama ada melalui bajet pembangunan kerajaan atau inisiatif pembiayaan swasta.”
Rahman berkata sebelum ini ada cadangan supaya jambatan itu menghubungkan sebuah pulau dengan Menumbok di tanah besar, dan akan dihubungkan terus ke Lebuhraya Pan-Borneo.
Butiran lanjut akan didedahkan bulan depan, katanya.
Pengumuman mengenai kajian kemungkinan jambatan itu diumumkan Perdana Menteri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober.
Bagaimanapun, cakap-cakap mengenai jambatan itu sudah lama kedengaran di Sabah sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Rakyat di negeri itu secara umumnya melihat pengumuman Najib tentang kajian itu sebagai satu langkah ke belakang. – 8 November, 2017.
Komen