PASTOR Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu sedang dicari oleh jabatan agama sebelum mereka hilang, kata saksi pertama siasatan awam ke atas kehilangan pasangan itu.
Penjual insurans, Peter Pormannan memberitahu panel siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Joshua yang sebelum ini beragama Islam mungkin dicari oleh jabatan agama berhubung penukaran agamanya.
“Dua tahun selepas saya jumpa Joshua, dia beritahu saya pihak jabatan agama sedang mencari dia.
“Dia kata ia ada kaitan dengan agama (anuti Kristian) dan pengalaman hidupnya,” kata Peter ketika memberi keterangan di ibu pehabat Suhakam di Kuala Lumpur, hari ini.
Pegawai Suhakam kemudian bertanya kepada Peter jika Joshua diugut atau hanya disiasat jabatan agama.
Peter memberitahu panel Joashu tidak menerima sebarang ugutan dari jabatan agama.
“Joshua beritahu saya di kad pengenalannya tertulis dia beragama Islam, dan dia mahu menukarnya sebab sudah menganut agama Kristian.”
Peter, yang mengenali pasangan Joshua dan Ruth sejak 2012, adalah orang pertama yang melaporkan kehilangan suami isteri itu pada 2017.

Keluarga Ruth diwakili oleh peguam Philip Koh. Adik lelakinya Iman Setiawan Sitepu dan adik perempuannya Ram Ram Elisabeth datang dari Indonesia untuk menghadiri sesi pendengaran hari ini.
Panel siasatan awam Suhakam dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Hishamuddin Yunus, dan dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.
Siasatan awam Suhakam diadakan untuk menentukan sama ada Pastor Raymond Koh, aktivis Amri Che Mat, Jashua dan Ruth adalah mangsa kehilangan paksa.
Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mengklasifikasikan kehilangan paksa sebagai seseorang individu ditangkap, diculik atau dipenjarakan secara rahsia oleh sesebuah organisasi, ejen kerajaan atau politik, atau pihak ketiga yang diberi kuasa oleh kerajaan atau organisasi politik.
Dalam kes Koh dan Amri, panel sebulat suara mendapati Cawangan Khas dari Bukit Aman menculik kedua-duanya dalam satu operasi ala komando.
Amri diculik pada 24 November 2016. Dalam siasatan awam itu, panel diberitahu bahawa Amri dalam pengawasan polis kerana didakwa terbabit dengan aktiviti Syiah.
Koh pula diculik pada 13 Februari 2017. Laporan polis dibuat terhadapnya beberapa bulan kemudian kerana didakwa memurtadkan golongan belia.
Tidak banyak maklumat mengenai Joshua dan Ruth yang dilaporkan hilang dari Petaling Jaya pada 2016. Pasangan ini kali terakhir dilihat pada 30 November 2016.
Kehilangan Ruth dilaporkan oleh Iman Setiawan dan Ram Ram Elisabeth pada 2018.
Keluarga Ruth tinggal di perkampungan nelayan di Nambiki di utara Sumatera, Indonesia. Mereka mendapat tahu tentang kehilangannya pada Mac 2017 tetapi tidak dapat datang ke Malaysia lebih awal atas masalah kewangan.
Kali terakhir mereka bercakap dengan Ruth pada November 2016. – 18 Februari, 2020.
Komen