DUA rakyat Malaysia yang berada di atas kapal persiaran mewah Diamond Princess diuji positif koronavirus Covid-19 dan sedang dirawat oleh pihak berkuasa Jepun, kata Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua rakyat Malaysia yang berada dalam kapal pelayaran itu disahkan dijangkiti Covid-19 dan dua lagi sedang menunggu keputusan ujian mereka.
“Mereka yang disahkan positif Covid-19 di atas kapal Diamond Princess yang berlabuh dan dikuarantin di Pelabuhan Yokohama meningkat melebihi 400 orang.
“Terdapat dua rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19 dan dua lagi masih menunggu keputusan ujian Covid-19 di atas kapal tersebut. Kedua-dua mereka yang positif sedang dirawat di Jepun,” kata Noor Hisham dalam satu catatan Facebook hari ini.
Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun mendedahkan semalam bahawa sejumlah 454 penumpang di atas Diamond Princess diuji positif koronavirus.
Kapal yang berlayar 16 hari dengan hentian di Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Vietnam berlabuh di Pelabuhan Yokohama, Jepun dan dikuarantin oleh pihak berkuasa di sana kerana jangkitan yang meluas.
Sejumlah 2,666 penumpang, dari lebih 50 buah negara, dikuarantin di dalam bilik mereka untuk mengelakkan jangkitan virus.
Wabak yang pertama kali dilaporkan di Wuhan di wilayah Hubei meragut lebih 1,800 nyawa dan menjangkiti 72,000 orang lain di lebih 25 buah negara. – 18 Februari, 2020.
Komen