SAMAN Anwar Ibrahim untuk membatalkan sabitan bersalah atas kesalahan liwat selepas peguam Umno Shafee Abdullah didakwa menerima RM9.5 juta dari Perdana Menteri Menteri Najib Razak ditolak.
Anwar juga dihendaki membayar RM10,000 kepada Shafee sebagai kos mahkamah, putus Hakim Azizah Nawawi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Peguam Anwar, N Surendran memberitahu The Malaysian Insight yang ketua umum Pakatan Harapan itu akan melakukan rayuan serta merta.
“Kami sangat, sangat kecewa. Ia keputusan salah.
“Saman difailkan Anwar untuk mengisytiharkan sabitan bersalahnya tidak sah sudah ditolak. Sekarang kami akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan,” kata Surendran.
Anwar memfailkan cabaran terbaru untuk mengetepikan sabitan bersalah atas dakwaan liwat pada 9 Jun lalu selepas pendedahan Sarawak Report pada 31 Mei yang mendakwa Najib menggunakan wang 1MDB untuk membayar Shafee.
Shafee adalah ketua pendakwa raya yang merayu menentang keputusan tidak bersalah Anwar ketika itu.
Sarawak Report mengatakan wang itu datang daripada akaun bank yang sama menyimpan wang rompakan anak syarikat 1MDB, SRC International yang meminjam sejumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Shafee yang berada di mahkamah hari ini memberitahu wartawan yang dakwaan dibayar itu “tidak masuk akal”.
“Saya tak pernah dibayar RM9.5 juta untuk mendakwa Anwar,” katanya.
Peguam Anwar berhujah yang Shafee tidak berkecuali dan mempunyai kepentingan peribadi dalam melakukan pendakwaan kes.
”Hakikatnya adalah Shafee dibayar sejumlah RM9.5 juta dalam dua kali bayaran, pertama sebanyak RM4.3 juta pada 11 September 2013 dan kedua sebanyak RM5.2 juta pada 17 Febuari 2014,” kata saman Anwar yang difailkan pada Jun itu.
“Ini adalah (berlaku) 18 hari sebelum Mahkamah Rayuan mendengar rayuan pihak pendakwaan yang membatalkan keputusan mahkamah tinggi dan menyabitkan saya bersalah pada 7 Mac 2014.
“Kedua-dua bayaran itu dibuat oleh Najib, yang merupakan PM dan kakitangan defendan (kerajaan Malaysia)
Dalam penghakiman hari ini, pasukan peguam Anwar diberitahu yang dakwaan pasukan pendakwaan dibayar RM9.5 juta hanyalah “dakwaan kosong” tanpa sokongan bukti.
Mahkamah Rayuan menyabitkan Anwar bersalah pada Mac 2014 kerana meliwat Saiful Bukhari Azlan, keputusan yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Febuari 2015.
Peguam Anwar mengatakan bekas timbalan perdana menteri itu dinafikan perbicaraan yang adil seperti mana diperuntukkan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan. – 8 November, 2017.
Komen