Sekatan akan jejas pelancongan Terengganu, kata penggiat seni


Diyana Ibrahim

Penggiat seni di Terengganu berkata negeri akan kehilangan salah satu daya tarikannya jika kerajaan negeri tetap memutuskan untuk melaksanakan garis panduan baharu berhubung persembahan seni dan budaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2020.

DASAR baharu yang akan dilaksanakan Terengganu bagi penganjuran program hiburan dikhuatiri akan menyekat aktiviti budaya dan kesenian adat Melayu kata penggiatnya.

Mereka juga bimbang peraturan baharu yang bakal dikuatkuasa pada tahun ini akan menjejaskan sektor pelancongan.

Seorang penggiat seni, Helmi percaya Terengganu akan kehilangan salah satu daya tarikannya jika kerajaan negeri tetap memutuskan untuk melaksanakan garis panduan itu.

“Macam sekarang dekat Terengganu ini kita sudah tak nampak persembahan seperti gamelan, rodat dan wayang kulit dimainkan dalam apa-apa pesta pun.

“Walhal program dan pesta kebudayaan inilah yang boleh menarik pelancong,” kata Helmi, 32, kepada The Malaysian Insight.

Menurut Helmi, keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan Kelantan yang menurutnya semakin terbuka dalam memberi ruang bagi aktiviti seni dan kebudayaan.

“Di Kelantan dengarnya setiap minggu  mereka ada persembahan seni kebudayaan. Mungkin kerajaan sana dah boleh nampak apa kesannya jika mereka terus ada polisi yang menekan ini,” katanya.

Beliau mengulas tindakan kerajaan Terengganu menangguhkan semua program hiburan dan kebudayaannya dalam usaha mewartakan garis panduan yang dijangka dikuatkuasa pada tahun ini.

Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata garis panduan itu juga menggariskan peraturan bagi orang bukan Islam.

Garis panduan itu juga dilaporkan meliputi persembahan pentas diasingkan mengikut jantina – dan nyanyian dan tarian artis wanita hanya boleh dipersembah kepada penonton wanita di tempat tertutup.

Ia turut melarang percampuran terlampau di antara lelaki dan wanita di atas pentas ketika persembahan dan mewajibkan wanita memakai tudung.

Sementara itu, kalangan operator pelancongan pula mengkritik kerajaan negeri yang dilihat terlalu ghairah melaksana pembangunan sehingga mengorbankan banyak nilai warisan.

Seorang operator pelancongan yang mahu dikenali sebagai Khairul, 46 berkata langkah itu menyebabkan banyak bangunan unik dan tinggi nilai seninya menjadi korban demi pembangunan.

Beliau memberi tindakan kerajaan negeri merobohkan bangunan lama di Marang untuk membina pusat pentadbiran daerah baru pada tahun 90-an.

Langkah itu menyebabkan bandar Marang kehilangan hampir separuh dari pelancong, kata anak jati Terengganu itu.

Katanya, pelancong yang tiba ke Marang pada masa ini hanya melalui bandar itu untuk mengunjungi Pulau Kapas dan tidak lagi menjadikan bandar itu sebagai tempat persinggahan.

“Dulu memang banyak (pelancong) suka tinggal di Marang sebab mereka cakap Marang macam bandar koboi.

“Mereka tak pergi pulau, mereka duduk berbulan-bulan di bandar Marang, tapi bila robohnya  bangunan lama memang boleh katakan Marang hilang separuh daripada pelancong,” katanya.

Khairul yang menjadi operator pelancongan sejak 15 tahun lalu berkata, beliau tidak menentang pembangunan tetapi bangunan lama yang berpotensi menjadi tarikan pelancong perlu dikekalkan dan dipulihara.

Terengganu sepatutnya tidak mempunyai masalah mempromosikan Tahun Melawat Malaysia kerajaan ia mempunyai hasil wang royalti minyak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2020.

Tahun Melawat Malaysia  Terengganu hambar

Pada 2017 Terengganu merekodkan kedatangan pelancong sebanyak 4.8 juta. Jumlah hampir serupa direkodkan pada tahun berikutnya.

Untuk tahun lalu, data sebenar akan dapat diketahui pada Mac manakala untuk 2020, Terengganu mensasarkan kedatangan 5 juta pelancong.

Namun jangkaan itu dipertikai kalangan pengusaha dalam industri pelancongan yang melihat kedatangan pelancong itu semakin hambar.

Seorang kakitangan syarikat pengurusan acara, Azizul, 35, berkata ia berpunca daripada kekurangan promosi oleh kerajaan negeri yang menurutnya masih di takuk lama.

Katanya, Terengganu sepatutnya tidak mempunyai masalah mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) kerajaan negeri itu menerima hasil wang royalti minyak.

“Dalam soal ini Terengganu ke belakang, masih lagi di cara lama. Mereka tidak mesra media sosial kerana inilah yang sebenarnya membantu dalam kempen.

“Kemudian pula yang pegang jawatan pula exco yang syok sendiri dan jiwanya bukan pelancongan,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati tidak banyak sepanduk dan risalah TMM dapat dilihat di negeri itu.

Sepanduk itu hanya dapat ditemui di luar kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan di Pasar Payang, salah satu tempat tumpuan di bandar Kuala Terengganu. – 18 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen