NAJIB RAZAK tidak pernah menggunakan blok gas dan minyak di Sabah sebagai pajakan untuk pinjaman RM100 juta dari China, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan.
Katanya, dakwaan yang tersebar di media sosial dan WhatsApp yang mendakwa perdana menteri menjual sumber alam semula jadi negeri itu melalui pembinaan Saluran Paip Gas Trans Sabah adalah penipuan semata-mata.
Rahman berkata dakwaan itu mungkin datang daripada mereka yang mahu menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan persekutuan dan negeri.
“Hal tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan tanpa kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri, projek itu tidak akan dapat dilaksanakan.
“Saluran gas itu adalah untuk kegunaan industri di Sabah, dalam sektor penjanaan tenaga, dengan jaminan kerajaan kepada kerajaan dan kerana itu tiada unsur untuk mengatakan blok itu digunakan sebagai pajakan untuk pinjaman itu,” katanya.
Rahman berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Mengenai Transformasi, Komuniti dan Pembangunan Mapan di Kota Kinabalu hari ini.
Beliau juga menafikan dakwaan yang kerajaan Sabah tidak diajak berunding berkaitan projek itu.
Menjelaskan perkara itu, Rahman mengatakan yang saluran paip itu dibiayai melalui pinjaman mudah Bank Export dan Import China (Exim) dengan jumlah pinjaman sebanyak RM4.53 bilion yang merupakan jumlah keseluruhan projek itu.
Katanya, bahan, peralatan dan buruh untuk membina saluran paip itu diperolehi daripada sumber tempatan dan luar negara seperti mana pembangunan projek MRT dan ECRL.
Tambahnya, projek itu dibangunkan oleh syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Sources Sdn Bhd, dan China Petroleum Pipeline Bureau mengawal selia aspek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemilihan kontraktor projek itu.
“Dengan projek infrastruktur tenaga utama, Sabah boleh bergerak lebih atas dalam rantaian nilai dan menambah nilai kepada komoditi tempatan dan bahan mentah, sekaligus mengurangkan kebergantungan negeri ke atas industri primary dan membentuk pekerjaan untuk rakyat di seluruh negeri dan meningkatkan tahap pendapatan mereka,” katanya. – 8 November, 2017.
Komen