5,102 orang masih mendapatkan perlindungan di pusat penempatan banjir di Pulau Pinang ketika kerajaan negeri berusaha mengurangkan kesukaran dihadapi mangsa yang terjejas teruk kerana banjir, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Katanya situasi di negeri itu sudah bertambah baik kecuali Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang masih terjejas disebabkan air banjir yang turun dari Kedah.
“Hujan lebat dan banjir di Kedah telah menyebabkan jumlah air yang banyak dicatatkan mengalir ke sungai kita, melimpah ke tebing sungai di sini sebelum mengalir ke laut.
“Ini telah memberikan kesan banjir buruk di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang berhampiran dengan tebing sungai meskipun tidak ada setitik hujan pun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumlah keluarga yang berada di pusat pemindahan banjir di Seberang Perai Utara adalah 821 keluarga seramai 3,381, manakalah 1721 orang daripada 463 keluarga pula masih berada di pusat perlindungan di Seberang Perai Tengah.
Lim juga berterima kasih kepada Perdana Menteri Najib Razak yang melawat negeri itu semalam dan menggesa Najib “mempertimbangkan secara serius” untuk memberikan RM1 bilion bagi projek mitigasi banjir seperti mana termaktub dalam Pelan Pembangunan 5 tahun Malaysia sebelum ini.
“Perdana Menteri Najib Razak, semasa lawatannya ke Pulau Pinang semalam, tidak membuat pengumuman tentang sebarang peruntukan baru untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang tetapi beliau akan mempertimbangkan secara serius projek tebatan banjir yang bernilai RM1 bilion yang masih belum diberikan di bawah Pelan Pembangunan Malaysia 5 tahun sebelum ini.
“RM150 juta yang disebut oleh perdana menteri adalah pengumuman yang telah dibuat sebelum ini pada 8 November 2016 oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tunku Jaafar,” kata Lim.
Najib dan isteri Rosmah Mansor berada di Pulau Pinang semalam untuk melawat mangsa banjir di Seberang Perai.
Lim juga mengatakan yang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama-sama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta agensi lain sudah diarahkan untuk mengepam air ke dalam sungai bagi mengurangkan tahap air banjir.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang menangani kebimbangan yang dihadapi rakyat disebabkan tanah runtuh yang berlaku kerana ribut kencang melanda negeri itu.
“Kita akan mengambil tindakan segara untuk menangani situasi ini dan berharap orang ramai akan bertindak ke atas panggilan pihak berkuasa untuk berpindah jika dan apabila keadaan memerlukan,” kata Lim.
Lim juga berterima kasih kepada pelbagai pihak dan organisasi yang membantu Pulau Pinang mengharungi masa sukar termasuklah Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hujan lebat yang turun selama 15 jam di negeri itu pada Sabtu serta ribut kencang menyebabkan banjir kilat berlaku di seluruh negeri.
Banjir itu setakat ini sudah meragut tujuh nyawa- lima rakyat Malaysia, seorang warga Bangladesh dan mangsa ketujuh ditemui berhampiran Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Dato Keramat. – 8 November, 2017.
Komen