PIHAK yang didakwa menerima kontrak loji rawatan air Sungai Intan di Semporna bukanlah kroni Musa Aman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Rahman Dahlan.
Rahman juga mengecam kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal semalam, mengatakan yang selaku menteri bertanggungjawab dalam pembangunan luar bandar dan wilayah ketika itu, Shafie sepatutnya tahu siapa yang diberikan kontrak pembangunan.
“Semua orang tahu yang projek itu datang daripada bekas menteri dan dia sedar tentang semua projek itu.
“Katakanlah betul yang Musa mempunyai hubungan dengan mereka yang menerima kontrak itu, bagi saya, orang itu adalah kroni orang lain, bukannya Musa,” katanya kepada wartawan di Kota Kinabalu hari ini.
Shafie di Parlimen semalam mengatakan yang anak buah Ketua Menteri Sabah Musa Aman menerima kontrak projek loji rawatan air Sungai Intan.
Projek itu adalah salah satu projek yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan dana awam RM1.5 bilion Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan luar bandar Sabah dalam tempoh 2009 hingga 2015.
Shafie adalah menteri bertanggungjawab ketika itu.
“Sepanjang saya ingat Musa, hampir setiap masa, memberitahu perdana menteri dan menteri kabinet yang ditemuinya yang kementerian Shafie ketika itu tidak pernah memberitahunya tentang projek di Sabah.
“Ia diketahui semua orang. Bukannya kerana dia (Shafie) sedang disiasat yang kami timbulkan perkara ini. Sehingga sekarang, ramai orang membantah projek yang dilakukan kementerian,” katanya.
Rahman berkata sekiranya projek itu dilaksanakan dengan betul, tidak akan ada lagi masalah bekalan air dan elektrik di pendalaman Sabah yang masih berlaku sehingga kini. – 8 November, 2017.
Komen