PROJEK solar hibrid yang dianugerahkan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd menerusi rundingan terus tidak mengikut peraturan dan proses kerja berhubung rundingan harga, kata saksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Othman Semail, yang merupakan saksi ketujuh perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor memberi keterangan bahawa tidak ada rundingan harga dibuat antara Kementerian Pendidikan dan Jepak untuk mendapatkan harga terbaik.
“Walaupun projek solar hibrid ini dikatakan telah dianugerahkan kepada Jepak yang didakwa secara runsingan terus, pada pengetahuan saya, undang-undang dan proses kerja berkaitan rundingan harga tidak dipatuhi sebelum surat penganugerahan dikeluarkan.
“Apa yang lebih penting, tiada rundingan harga dibuat antara Kementerian Pendidikan dan Jepak untuk dapatkan nilai harga terbaik,” kata Othman.
Tambah Othman, tiada pengurusan nilai diwujudkan untuk projek solar hibrid, yang disifatkan sebagai keperluan penting untuk projek melebihi RM50 juta, dan berkata Jepak telah menetapkan penilaian untuk projek itu dari awal.
“Nilai projek ini RM1.25 bilion ditetapkan oleh Jepak sejak awal dan ia diterima oleh Kementerian Pendidikan.
“Tiada pengurusan nilai diwujudkan walaupun ia diperlukan untuk projak fizikal melebihi RM50 juta,” katanya menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaran.
Othman menjelaskan pengurusan nilai merupakan salah satu cara untuk mendapatkan nilai untuk wang.
Beliau berkata ia biasanya dilaksanakan semasa peringkat pra dan pasca projek untuk mengenal pasti keperluan kerajaan dan dilihat sebagai cara yang optimum untuk melaksanakan sesuatu projek tanpa menjejaskan piawaian yang diperlukan.
Menurutnya, pendekatan pengurusan nilai dilaksanakan dalam dua peringkat, iaitu penilaian nilai dan kejuruteraan nilai. – 17 Februari, 2020.
Komen