BEKAS ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau bingung mengapa Najib Razak mengarahkan supaya projek solar hibrid untuk sekolah di kawasan pedalaman Sarawak dijalankan tanpa sebarang perancangan dan kajian rapi.
Saksi keenam pendakwaan itu perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor itu berkata, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, suami Rosmah iaitu Najib adalah seorang pemimpin yang berwawasan, berpandangan jauh dan bijak.
Menurut Madinah, bekas perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu, sangat berhati-hati tentang kos dan perancangan rapi sebelum melaksanakan mana-mana projek.
Projek solar hibrid yang dicadangkan Jepak Holdings Sdn Bhd itu berisiko tinggi dan memerlukan perancangan rapi dan pelaksanaan yang teliti, katanya.
“Saya tak tahu kenapa Najib arahkan projek solar hibrid yang berisiko tinggi itu dijalankan dengan cepat tanpa perancangan dan kajian yang terperinci, malah tanpa berbincang dulu dengan Kementerian Pendidikan.”
Minggu lepas, Madinah memberitahu mahkamah tertuduh memintanya mempercepatkan projek yang diberi kepada Jepak Holdings itu.
Rosmah, 69, menghadapi tiga pertuduhan rasuah melibatkan suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin atas pemberian kontrak projek solar hibrid.
Rosmah juga dituduh menerima RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017.
Terdahulu, Madinah memberitahu mahkamah bagaimana bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid mengadu ditekan oleh Najib berkenaan projek tersebut.
Madinah berkata Najib marah projek lewat dilaksanakan, serta Mahdzir bimbang mengenai kesan kewangan dan perundangan ke atas Kementerian Pendidikan.
Saksi itu selesai memberi keterangan pada hari ini. Beliau akan disoal balas oleh pembelaan yang diketuai oleh peguam Jagjit Singh esok.
Jagjit memberitahu hakim sesi soal balas esok akan dijalankan oleh peguam Akberdin Abdul Kader.
Perbicaraan ke srasuah Rosmah dijalankan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – 17 Februari, 2020.
Komen