AHLI Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata beliau tidak mengabaikan penduduk Taman Desa yang terjejas dengan runtuhan kondominium Jumaat lalu.
Tambahnya, beliau sudah menentang projek pembangunan sebegitu di kawasan itu sejak 2017 lagi.
Katanya, beliau tidak pernah melanggar janji pilihanraya dan mahu menjelaskan kepada rakyat yang projek itu mendapat arahan pembinaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2017) pada 2017.
“Bekas calon MCA Seputeh (Chan Quin Er) berkata penduduk kecewa dengan saya, kerana selepas saya jadi menteri saya lari daripada tanggungjawab.
“Saya tidak ada kuasa atau (berkuasa) meluluskan semua projek. Ia dibuat sebelum zaman saya (jadi wakil rakyat). Saya tak sokong projek itu.
“Ia (kelulusan projek) dibuat ketika zaman Tengku Adnan (bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor),” katanya hari ini ketika melawat tapak projek di Jalan Desa Bakti.
Kok mengulas kecaman Chan yang mahukan beliau, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan menjelaskan mengapa penentangan terhadap pembanguanan melampau di kawasan itu tidak mendapat perhatian pihak berkuasa.
Kok berkata, beliau sudah menentang pembangunan melampau yang berlaku di Taman Desa, Bukit Desa dan Danau Desa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi.
“Kami buat kempen tandatangan sejak 2017. Jadi untuk kata saya tidak bertanggungjawab adalah tidak benar.
“Saya mahu nasihatkan dia (Chan), yang saya tak suka serang orang muda, tetapi dia perlu lebih bertanggungjawab dan periksa fakta sebelum buat apa-apa kenyataan.
“Hanya kerana satu kejadian berlaku, mereka salahkan saya.”
Tambah Kok lagi, beliau sudah berbincang dengan Nor Hisham dan mereka kini sedang memeriksa semula banyak projek sekitar Kuala Lumpur yang mendapat kelulusan. – 17 Februari, 2020.
Komen