Peguam Najib mohon arahan mahkamah untuk temubual pegawai SPRM


Bede Hong

Peguam Najib Razak memohon arahan mahkamah untuk menembual saksi mereka sebelum memberi keterangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Februari, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Isnin depan untuk mendengar permohonan peguam Najib Razak mendapatkan arahan mahkamah memaksa seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk ditemubual.

Pembantu Pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir adalah pegawai penyiasat untuk kes SRC International akan menjadi saksi ketujuh pihak pembelaan.

Peguam sebelum itu memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang Nasharudin enggan hadir temubual sebelum bicara yang dijadualkan Sabtu lalu.

Peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah sudah menghantar permohonan bagi mahkamah menggunakan kuasanya memaksa Nasharudin ditemubual pasukan pembelaan Najib.

Shafee berkata membenarkan saksi memberi keterangan tanpa menemubualnya terlebih dahulu adalah satu bentuk kecuaian, kerana saksi boleh menjadi “saksi kamikaze” yang “menghancurkan” kes pembelaan.

Peguam Negara Tommy Thomas berhujah saksi mempunyai hak sendiri.

“Saksi tidak mahu ditemubual. Ini adalah situasi di mana Yang Arif boleh berkata saksi boleh melantik peguamnya sendiri. Beliau mempunyai hak di luar kepentingan pendakwaan dan pembelaan.”

Turut hadir hari ini adalah pegawai penyiasat kanan SPRM Rosli Hussain yang merupakan saksi ke-57 dan terakhir pendakwaan.

Minggu depan, mahkamah juga akan mendengar keterangan pakar tulisan tangan warga Australia, Steven Strach.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh berkata saksi terakhir pembelaan adalah pengarah urusan syarikat pembinaan Putrajaya Perdana Bhd Rosman Abdullah.

Syarikat itu jadi tumpuan perbicaraan apabila pendakwaan menuduh Najib dan rakan subahatnya menggunakan anak syarikat tersebut untuk menyalur keluar ratusan juta wang SRC International.

Selepas bulan ini, tiada tarikh perbicaraan kes SRC International ditetapkan lagi.

Bagaimanapun, tarikh perbicaraan mungkin berlaku pada tarikh kes 1MDB yang juga melibatkan Najib tidak berjalan, kes itu dijadualkan berlaku pada Mac sehingga Oktober.

Selepas Rosman memberi keterangan, peguam dan pendakwa raya akan membentangkan hujah terakhir mereka.

Hakim Mohd Nazlan kemudiannya akan menetapkan tarikh lain untuk mengeluarkan penghakiman sama ada menyabitkan atau melepaskan Najib.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen