KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad perlu dibenarkan menjalankan tugasnya, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak dapat menjawab sama ada tuduhan ke atas Dzulkifli itu betul, kerana butiran tentang siri rakaman video yang mendakwa Dzulkifli terlibat dalam skandal hubungan sulit masih tidak diketahui.
“Dia perlu diberi peluang untuk jalankan tugasnya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” kata Zahid ketika menggulung perbahasan Bajet 2018.
Ahli Parlimen Bagan Datok itu juga berkata perkara itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Zahid menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo iaitu mengapa tiada keputusan dibuat terhadap perkara itu dan apakah benar Dzulkifli lelaki di dalam video terbabit.
Sebuah pasukan khas ditubuhkan pada 16 Oktober bagi memantau siasatan terhadap dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan lain yang berkaitan.
Seksyen 498 merujuk kepada memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang wanita yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks yang tidak sah. Jika didapati bersalah hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya dikenakan.
Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata Jabatan Peguam Negara menerima banyak pertanyaan daripada orang awam mengenai laporan yang dibuat terhadap Dzulkifli.
Ketua Polis Negara Fuzi harun pada bulan lepas mengumumkan akan menyiasat tuduhan terhadap ketua pesuruhjaya SPRM itu.
Satu siri rakaman video menunjukkan Dzulkifli berpegangan tangan bersama seorang wanita memasuki sebuah restoran di Bali.
Wanita itu menerusi halamamn Facebook berkata Dzulkifli tiada kaitan dengan perceraiannya. – 8 November, 2017.
Komen