PERMINTAAN mendadak topeng muka dan pencuci muka disebabkan wabak Covid-19 menyebabkan bekalan kedua-dua produk itu semakin berkurangan dalam pasaran, kata ahli farmasi.
Mereka turut meluahkan rasa bimbang dengan situasi itu walaupun kerajaan menegaskan rakyat tidak perlu panik kerana bekalan topeng tiga lapis masih mencukupi.
Putrajaya juga sudah melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing bagi membantu pengilang topeng muka meningkatkan pengeluaran produk itu.
Pengurus Kanan Pemasaran Caring Pharmacy SM Seow memberi The Malaysian Insight yang bekalan topeng muka dan pencuci tangan tidak mencukupi.
“Kami ada 134 cawangan di seluruh negara dan kadang-kadang bekalan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan. Kami hanya memperuntukkan bekalan kepada cawangan yang sudah lama kehabisan stok dan melimitkan seorang pelanggan boleh membeli hanya 3 hingga 5 topeng muka sahaja.
“Bekalan tak konsisten. Kadang-kadang kami hanya dapat 50 kotak topeng muka yang kami edarkan kepada cawangan mengikut permintaan.
“Saya tak benarkan pelanggan beli sekotak. Kami buat paket kecil bagi memastikan semua pelanggan boleh beli topeng,” katanya.
Seow menambah situasi kurang bekalan juga berlaku ke atas pencuci tangan.
“Kadang-kadang kami terima 1,000 botol pencuci tangan saiz 500 ml. Kami juga edar kepada cawangan ikut permintaan.
“Harga runcit topeng muka dan pencuci tangan tidak boleh melebihi harga ditetapkan kerajaan. Tetapi, bila permintaan naik harga pun naik,” katanya.

Katanya, ada ramai pelanggan yang membeli barangan ini secara pukal dan menjualnya semula dengan harga lebih tinggi.
Misalnya, pencuci tangan jenama Alsof hanya dijual di Caring Pharmacy dan hospital, tetapi kini ia dijual juga di tempat lain.
Pencuci tangan itu dipaketkan semula ke dalam botol kecil dan dijual dengan harga lebih tinggi.
“Apa yang lebih mengarut ada orang jualnya di luar kedai kami,” katanya.
“Sedangkan ia tidak bersih dan semua pencuci tangan perlu dapat kelulusan Jabatan Kimia,” tambahnya.
Katanya lagi, ramai juga “pengeluar dan pembekal baharu” menghubungi farmasi untuk menjual produk mereka.
“Kami tak kenal mereka dan produk mereka sangat mahal.”
Tetapi, beliau menekankan yang pembekal Caring Pharmacy berkata bekalan akan mencukupi hujung bulan ini.
“Kami tak boleh kata sama ada bekalan akan mencukupi. Wujud defisit dalam pasaran semasa.”
Ketua ahli farmasi Caring Wong Hooi Fen pula mendedahkan setiap hari ramai pelanggan bertanyakan tentang topeng muka dan pencuci tangan.
Ada juga yang marah kerana bekalan tidak mencukupi.
“Ramai pelanggan marahkan ahli farmasi kerana ini (produk tidak ada),” kata Wong.

Tambahnya, Caring Pharmacy juga mendidik pelanggan untuk menjaga kebersihan dan melindungi diri mereka.
Bagaimanapun, ada pelanggan yang melakukan pembelian rusuh kerana panik tetapi hanya segelintir memakainya di ruang awam.
“Kami juga pernah membeli topeng muka yang rendah kualitinya kerana bekalan tidak mencukupi. Selepas terkena, kami lebih berhati-hati memilih pembekal yang membekalkan produk kepada kami.”
Ooi Jong Joo, ketua AA Pharmacy di Kepong pula berkata kedainya sudah dua minggu tiada bekalan produk itu.
Ibu pejabat farmasi itu mengambil bekalan dari China.
Bagaimanapun, permintaan melebihi pengeluaran dan pengeluar tempatan hanya menjual produk itu kepada pelanggan tetap mereka sehingga menimbulkan kesukaran mendapatkan bekalan topeng muka dan pencuci tangan. – 17 Februari, 2020.
Komen