Pemimpin sayap bimbang Pemuda Bersatu pecah dua


SM Amin

Kedudukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ketua Pemuda Bersatu kini dicabar ahli yang merasakan beliau gagal menerajui sayap itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2020.

PARA pemimpin Pemuda Bersatu bimbang pertembungan dua tokoh berpengaruh dalam pemilihan untuk jawatan tertinggi sayap tersebut akan membawa perpecahan dalam pergerakan itu.

Pemimpin Pemuda ini bimbang keadaan itu berlaku apabila anggota exco Mohd Muzammil Ismail mengumumkan untuk mencabar ketua sayap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Antaranya, Ketua Penerangan Pemuda Perak Herman Hassan yang mengakui kekuatan Muzammil mampu menjejaskan perpaduan dalam sayap tersebut pada masa akan datang.

“Saya jangka Syed Saddiq akan menang tetapi saya khuatir pertandingan ini akan menyebabkan Armada (Pemuda) berpecah,” katanya kepada The Malaysia Insight.

Kenyataan Herman itu timbul sewaktu kedua-dua kem penyokong giat memburuk-burukkan lawan masing-masing di media sosial, antaranya berkaitan moral dan integriti calon.

Sabtu lalu, Muzammil yang merupakan anggota exco Bersatu mengumumkan mencabar Syed Saddiq dengan membawa pandangan, pemimpin sayap tersebut hari ini gagal menarik sokongan anak muda.

Muzammil membangkitkan perkara itu berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya kecil sejak tahun lalu yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan.

Sekiranya berlaku perpecahan dalam Pemuda Bersatu, ia akan memberi kesan besar kepada Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2020.

Namun menurut Herman, kekalahan di dalam beberapa siri PRK tersebut terutamanya di saluran pengundi muda tidak boleh dijadikan ukuran kegagalan kepimpinan Syed Saddiq.

“Keputusan tersebut lebih kepada disebabkan isu-isu nasional yang dibawa oleh pembangkang dan dimeracuni pemikiran anak muda.

Macam di PRK Kimanis, itu disebabkan isu PSS (Pas Sementara Sabah),” katanya merujuk kepada isu dokumen yang giat digembleng pembangkang semasa kempen tersebut.

Dokumen yang diperkenal Kementerian Dalam Negeri untuk menggantikan tiga dokumen sedia ada bagi mengawal kemasukan ratusan ribu pendatang ke negeri itu.

Dalam siri PRK yang diadakan pada tahun lalu, PH hanya menang di kerusi Sandakan.

PRK selebihnya dimenangi oleh BN iaitu di kerusi Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai dan terbaru di Kimanis, Sabah.

Dalam siri PRK tersebut, PH tewas di hampir semua saluran anak muda. 

Pemuda Bersatu kini dianggap gagal menarik pengundi muda apabila gagal membantu Pakatan Harapan dalam tiga pilihan raya kecil yang berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2020.

Mengulas isu sama, Ketua Pemuda Bersatu Bahagian Port Dickson Megat Muhammad Faris Megat Ismail pula berpendapat Pemuda perlu diberi nafas baru untuk menangani defisit sokongan anak muda.

Sebahagian kepimpinan yang ada ketika ini bukan sahaja gagal untuk menarik anak muda dalam Armada, malah gagal memberi respon terhadap isu nasional, agama dan bangsa, katanya.

Tambahnya, keadaan inilah yang menyebabkan Pemuda dilihat tidak lagi mewakili suara anak muda.

“Syed Saddiq juga mempunyai hubungan yang dingin dengan Istana. Sebagai ketua Pemuda Pakatan Harapan, beliau perlu ada sikap mempertahankan institusi tersebut.

“Kita bukan tidak setuju semua, tetapi banyak perkara perlu pembaharuan. Inilah masalah. Jadi kita perlu satu kepimpinan baru untuk memimpin,” ujarnya.

Selain daripada itu kata Faris, Syed Saddiq juga hanya bergantung kepada kepimpinan Pemuda negeri untuk menyelesaikan masalah Pemuda di peringkat bahagian dan cawangan.

“Kita boleh lihat apa yang (bekas Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin buat sebelum ini. Jika ada cawangan bermasalah, dia boleh turun bantu hidupkan balik cawangan tersebut.

“Ini perlu dibuat Syed Saddiq, jangan hanya kenal kepala dan bergantung harap kepada ketua Armada negeri semata-mata.

“Jangan hanya cerita soal dasar nasional sahaja. Di akar umbi macam mana?” soalnya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat gagal mendekati akar umbi parti dan banyak bergantung kepada sokongan ketua Pemuda negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2020.

Turut sependapat Ketua Pemuda Bersatu Bahagian Lumut Akmal Maradzi yang mengakui terdapat kelemahan dalam kepimpinan Syed Saddiq.

Bagaimanapun beliau berpendapat Syed Saddiq perlu terus diberi peluang kerana menteri belia dan sukan itu hanya berpeluang berpeluang berbuat demikian dalam tempoh masa singkat setakat ini.

Ahli Pemuda memerlukan masa untuk merasai hasilnya, kata Akmal.

“Kita perlu berikan beliau sokongan dan ruang untuk memimpin. Masih terlalu awal untuk kita menilai kepimpinan.

“Bukannya dia tidak buat apa-apa. Dia dah bawa suara anak muda contohnya dia buka ruang suara anak muda dengan turunkan umur pengundi 18 tahun, elaun praktikal dan ada banyak lagi.

“Dia berusaha keras untuk bawa suara anak muda ke aras yang lebih tinggi,” katanya.

Syed Saddiq dilantik menjadi ketua Pemuda Nasional sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 2016.

Setakat ini, pemimpin Pemuda di empat negeri – Perak, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang sudahpun menyatakan sokongan kepada Syed Saddiq untuk kekal sebagai ketua.

Penamaan bagi semua jawatan peringkat nasional akan berlangsung pada 16 Mac dan pemilihan akan diadakan pada 20 Jun.– 17 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen