Anggota DBKL dikerah jaga Pintasan Saloma elak vandalisme, gelandangan


Pintasan Saloma, jambatan pejalan kaki sepanjang 370 meter menghubungkan Kampung Baru dan kawasan berdekatan KLCC yang baru dibuka kepada umum awal bulan ini, dilaporkan telah menjadi 'mangsa' vandalisme, dicemari sampah sarap dan ‘sarang’ baharu golongan gelandangan. – Gambar Twitter, 16 Februari, 2020.

ANGGOTA penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditempatkan di Pintasan Saloma bagi mengelak mercu tanda baharu di ibu kota itu, menjadi tempat tinggal gelandangan dan rosak akibat kegiatan vandalisme. 

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata masalah gelandangan dan vandalisme berlaku di lokasi-lokasi tumpuan pelancong, yang memerlukan penguatkuasaan dalam menanganinya.

“Kita jadikan banyak tempat cantik di Kuala Lumpur tetapi akhirnya di situ juga dia (gelandangan) melepak. Kita perlu tangani masalah ini sebaik mungkin, dan bawa gelandangan ini ke rumah transit,” katanya kepada pemberita selepas Kenduri Rakyat, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pintasan Saloma, jambatan pejalan kaki sepanjang 370 meter menghubungkan Kampung Baru dan kawasan berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang baru dibuka kepada umum awal bulan ini, dilaporkan telah menjadi ‘mangsa’ vandalisme, dicemari sampah sarap dan ‘sarang’ baharu golongan gelandangan.

Beliau berkata kira-kira 100 anggota penguat kuasa akan bertugas melibatkan empat shif bagi memantau jambatan pejalan kaki berkenaan serta kawasan berdekatan seperti Jalan Saloma, Jalan P. Ramlee dan Kampung Baru, selain langkah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Khalid berkata kerosakan yang berlaku juga telah dibaiki, serta menyeru orang ramai supaya menghargai dan menggunakan kemudahan awam, dengan baik.

“Vandalisme memang masalah di banyak tempat, kita kena didik rakyat kita, kerana bila kita buat kemudahan cantik-cantik, ia untuk kemudahan semua, setakat ini kita cuba tangani dengan penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, Khalid menggesa lebih banyak penglibatan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam program anak angkat Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), di ibu negara.

Beliau berkata setakat ini, tujuh PPR dan PA telah terlibat dengan program itu, antaranya PA Seri Negeri Sembilan dan PA Seri Perak, di Sentul.

Menurutnya, program yang sudah dilaksanakan bermula Disember tahun lepas itu, bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk PPR dan PA sekali gus mengatasi masalah sosial yang sering dikaitkan dengan kawasan perumahan tersebut.

“Pemaju (dan pihak swasta) yang ada projek di Kuala Lumpur kita galakkan mereka untuk mengambil PPR dan PA angkat, yang mana mereka akan bekerjasama dengan jawatankuasa penduduk, untuk buat CSR (program tanggungjawab sosial korporat) menceriakan suasana kehidupan dan menyediakan kemudahan. 

Jelasnya, antara aktiviti yang boleh dijalankan termasuk kelas tusyen, program motivasi dan penyediaan kemudahan seperti dewan serbaguna.  – Bernama, 16 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen