BALAI Seni Visual Negara menaikkan semula empat karya Ahmad Fuad Osman selepas menerima teguran kementerian serta tekanan dari warga seni termasuk artis terlibat.
The Malaysian Insight difahamkan, kesemua karya berkenaan dinaikkan kira-kira pukul 12.30 tengahari tadi, seperti jaminan galeri berkenaan, awal hari ini.
Antara karya yang menjadi kontroversi adalah sebuah catan bertajuk “Imitating the Mountain” memaparkan seorang lelaki berbaring dalam keadaan telanjang dengan latar belakang jajaran gunung.
Tiga lagi karya termasuklah “Untitled (2012)”, “Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody”, dan “Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik”.
Ia merupakan sebahagian dari pameran solo Ahmad Fuad bertajuk “Akhirnya Seni Pun Tidak Penting”.
Pameran itu menghimpunkan karya Ahmad Fuad yang dihasilkan antara 1990 dan 2019, sebagai tinjauan perkembangan pengkaryaannya.
Pameran itu bermula pada 28 Oktober tahun lalu dan sepatutnya ditutup pada 31 Januari lalu. Ia bagaimanapun dilanjutkan sehingga 29 Februari ini atas permintaan Balai Seni Negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik turut menulis surat peribadi meminta Balai Seni Negara menimbang untuk menaikkan semula empat karya itu.
Beliau juga meminta Balai Seni Negara meminta maaf kepada Ahmad Fuad.
Seorang pengumpul seni terkenal Richard Koh meletakkan jawatan daripada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara minggu ini tindakan Balai menurunkan karya Ahmad Fuad.
Puluhan pengumpul lain juga mengancam untuk tidak lagi meminjamkan karya dalam koleksi mereka untuk pameran sekiranya Balai tidak menaikkan semula karya terbabit.
Ahmad Fuad yang kesal dengan tindakan Balai menurunkan karyanya menuntut agar kesemua kerja seni beliau dikeluarkan dari pameran.
Katanya, Balai tidak berbincang dengannya, mahupun dengan kurator terlibat sebelum menurunkan karya terbabit yang sudahpun diluluskan lebih awal untuk pameran. – 16 Februari, 2020.
Komen