AHLI Parlimen pembangkang hari ini menggesa Petronas menarik balik semua pelaburannya di Myanmar susulan penganiayaan dilakukan kepada minoriti Rohingya di negara itu.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan lima yang lain mengetuai 41 ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), PAS dan Warisan menandatangani petisyen bantahan terhadap kerajaan Myanmar kerana “jenayah terhadap Rohingya”.
“Kami penandatangan petisyen ini, dengan ini menggesa Petronas melepaskan mana-mana dan semua penyertaan dalam sebarang bentuk operasi di Myanmar (perniagaan atau sebaliknya, pelaburan atau sebaliknya) berkuat kuasa 1 Januari 2018, melainkan dan sehingga kerajaan Myanmar mengiktiraf etnik minoriti Rohingya adalah warganegara Myanmar yang sah dan diberikan hak serta perlindungan diberikan kepada warganegara Myanmar lain.
“Dan segala bentuk intimidasi, penaklukan, diskriminasi dan jenayah terhadap mereka dihentikan serta-merta dan menyeluruh,” kata petisyen itu.
Rafizi pada sidang akhbar di Parlimen berkata salah satu pelaburan Petronas di Myanmar ialah medan gas Yetagun di Laut Andaman.
Tambah Rafizi, hasil Petronas yang diterima daripada penjualan pelincir di Myanmar juga kecil.
“Setakat 10 pagi ini, kami terima 47 tandatangan. Kami harap lebih ramai ahli Parlimen akan tandatangan petisyen ini. Saya akan menulis kepada ketua whip Barisan Nasioanal (BN) untuk membenarkan ahli-ahli Parlimen BN menandatangani petisyen ini kerana ini tidak memihak mana-mana parti.
“Menghantar flotila tidak menyelesaikan apa-apa. Kita mesti buat lebih dari itu. Ia mesti penyelesaian kekal, dan penyelesaian itu hanya boleh daripada campur tangan politik.”
Rafizi berkata beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin bagi perbincangan lanjut perkara itu.
Bulan lepas, Perdana Menteri Najib Razak melancarkan misi ketiga ‘Negaraku Prihatin, Misi Kemanusiaan untuk Rohingya, dengan menghantar 56.6 tan makanan dan barangan keperluan untuk pelarian Rohingya di sempadan Myanmar-Bangladesh. – 8 November, 2017.
Komen