COVID-19 meragut lebih 1,600 nyawa dan lebih 66,000 jangkitan direkodkan hanya dalam tempoh sebulan seklaigus menjadikan ia wabak paling buruk yang pernah berlaku di dunia.
Ini menjadikan kira-kira 2.4% daripada mereka yang dijangkiti Covid-19 meninggal dunia.
Simptom virus seperti pneumonia itu mula dilaporkan di Wuhan, China pada 31 Disember, 2019.
Virus berkenaan dipercayai berasal daripada sebuah pasar yang menjual haiwan liar untuk dijadikan hidangan eksotik seperti kelawar, ular, musang serta pelbagai jenis burung lain.
Kira-kira 28 negara, termasuk Malaysia dilaporkan mempunyai kes virus berkenaan. Bagaimanapun, jumlah kematian tertinggi direkodkan di China.
Lebih 1,700 petugas perubatan turut dijangkiti wabak ketika bertugas.
Di Malaysia, setakat Sabtu sebanyak 21 kes dilaporkan, yang mana 15 daripadanya melibatkan warganegara China manakala enam lagi awalah warga Malaysia. Daripada jumlah itu, tujuh orang telah pulih sepenuhnya.
Menurut Ketua Unit Kecemasan Penyakit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Maria Van Kerkhove, gejala boleh berubah dari radang paru-paru ringan hingga teruk.
Bagi kes yang ringan, gejala wabak boleh jadi selsema biasa dengan gejala pernafasan, sakit tekak, hidung berair, demam sehinggalah kepada pneumonia.
Terdapat pelbagai tahap pneumonia yang parah serta kegagalan fungsi organ yang membawa maut.

Menurut Jurnal Perubatan Amerika (Jama) yang disiarkan pada 7 Februari, menyatakan gejala paling biasa adalah demam, keletihan dan batuk kering.
Kira-kira satu pertiga daripada pesakit dilaporkan mengalami sakit otot dan sukar untuk bernafas, manakala kira-kira 10% mempunyai gejala seperti cirit-birit dan loya.
Virus berkenaan menjangkiti seseorang yang berada dekat dengan orang yang dijangkiti dan menerusi cecair badan seperti air liur atau kahak orang yang dijangkiti wabak itu.
Tempoh pengeraman sebelum gejala mula jelas antara satu hingga 14 hari.
Sebelum menular Covid-19, wujud beberapa wabak yang pernah mengejutkan dunia.
Menurut WHO, koronavirus (CoV) didefinisikan sebagai sebuah keluarga besar virus yang menyebabkan sakit daripada selsema biasa sehingga penyakit berbahaya seperti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS-CoV).
Novel koronavirus (nCoV) merupakan jaringan wabak terbaharu yang belum pernah dikenal pasti oleh manusia.
Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS-CoV)
Angka kematian Covid-19 melebihi kematian akibat wabak SARS pada 2002-2003.
SARS, yang juga berasal dari China, meragut lebih 774 nyawa dan 8,100 kes dilaporkan dalam tempoh lapan bulan.
SARS dikatakan sebagai wabak jangkitan udara yang menunjukkan gejala seperti demam panas, keletihan yang melampau, sakit kepala, kesejukan, sakit otot, hilang selera makan dan cirit-birit.
Malah, jangkitannya juga memberi kesan kepada paru-paru dan sistem pernafasan yang membawa kepada gejala seperti batuk kering, sukar bernafas dan kurang oksigen dalam darah yang boleh membahayakan nyawa.

H1N1
H1N1 adalah pandemik influenza, yang berlaku pada tahun 2009 hingga 2010.
Pandemik yang juga dikenali sebagai selesema babi telah meragut 12,469 nyawa di Amerika Syarikat. Kajian oleh Lancet Infectious Disease Journal pada 2012 menganggarkan jumlah kematian di seluruh dunia adalah antara 151,700 dan 575,400.
Selesema babi dikatakan berpunca daripada virus Jenis A yang ada pada babi.
Menurut WHO, jangkitan berlaku melalui cecair daripada batuk dan bersin. Virus ini juga boleh menyebarkan melalui penghantaran udara jarak pendek di kawasan tertutup yang penuh sesak. Di samping itu, pencemaran tangan dan inokulasi langsung juga dianggap sebagai antara punca penyebarannya.
Wabak ini disifatkan sebagai jangkitan pernafasan dengan kepelbagaian yang berbeza-beza, dari jangkitan asimtomatik hingga penyakit yang membawa maut.
Demam dengan permulaan, menggigil, sakit tekak, batuk, biasanya disertai dengan sakit kepala, coryza, myalgia dan lemah disenaraikan sebagai gejala influenza yang biasa. – 17 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen