MALAYSIA Airlines akan menyemak semula permintaan dan menyesuaikan keupayaannya mengikut kesan penularan wabak Covid-19.
“Kita percaya kesan (wabak) adalah sementara dan terdapat penurunan permintaan,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu kepada The Malaysian Insight.
Berhubung penerbangan ke Britain, jurucakap itu berkata jadual penerbangan dua kali ke negara itu tidak terjejas.
“Jumlah pengurangan adalah kecil dan kita akan meneruskan penerbangan dua kali sehari. Hanya sedikit tempahan sahaja dibatalkan.”
The Edge sebelum ini melaporkan antara 20% dan 30% tempahan penerbangan China-Malaysia dibatalkan. Tempahan yang dibatalkan itu melibatkan jadual penerbangan sehingga 29 Februari.
Tempahan dibatalkan ekoran tindakan kerajaan China menggantung penerbangan berkumpulan rakyatnya ke luar negara bagi mengekang virus Covid-19.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) baru-baru ini berkata penularan Covid-19 boleh menyebabkan penurunan pendapatan syarikat penerbangan seluruh dunia antara AS$4 bilion hingga AS$5 bilion.
Agensi itu berkata sebanyak 70 syarikat penerbangan membatalkan penerbangan masuk dan keluar China, manakala 50 lagi mengurangkan operasi ke negara tersebut.
Menurut anggaran awal, pengurangan ini melibatkan hampir 20 juta penumpang berbanding jangkaan pada suku pertama 2020.
“Sebelum penularan Covid-19, syarikat penerbangan merancang untuk meningkatkan kapasiti sebanyak 9% penerbangan keluar/masuk China bagi suku pertama 2020 berbanding 2019,” kata ICAO dalam satu kenyataan.
Realitinya yang berlaku adalah pengurangan kapasiti penerbangan sebanyak 80%. – 16 Februari, 2020.
Komen