KUMPULAN kecil pengayuh beca Pulau Pinang berkata mereka telah dipinggirkan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan badan bukan kerajaan ketika negeri itu dilanda banjir kilat yang menyebabkan enam buah beca musnah teruk manakala beberapa lagi rosak dan tidak selamat digunakan.
Dengan usaha pembersihan di Pulau Pinang mula dijalankan dan bandar George Town secara perlahan kembali sibuk, beca - satu daripada tarikan pelancong negeri - tidak kelihatan di jalan-jalan raya sekitar bandar.
Ketua Penang Trishaw Association Koay Beng Hong berkata pihak berkuasa mengabaikan nasib pengayuh beca berikutan ribut pada petang Sabtu lalu.
Angin kencang menerbangkan bumbung Gereja St Francis, lalu menghempap beca-beca yang diletakkan ditepi jalan.
“Kami hanya terdiri daripada 40 pengayuh beca dan persatuan sudah tidak aktif macam dulu,” kata Koay.
“Tapi selepas ribut itu, tiada siapa datang bertanya khabar, apatah lagi bertanya jika kami perlukan bantuan.”
“Ada 10 exco (kecuali ketua menteri) dalam kerajaan negeri dan setiap orang ada cukup kakitangan yang bekerja untuk mereka. Takkan mereka pun sibuk?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Enam daripada beca-beca itu musnah teruk selepas dihempap bumbung, manakala beberapa lagi rosak dan tidak selamat digunakan di atas jalan raya.

Menurut Koay, walaupun “takdir Tuhan” adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, tetapi dia kesal apabila kerajaan negeri kurang beri perhatian kepada mereka kerana kini pendapatan mereka terjejas.
“Bagi seorang pengayuh beca, sehari tak bekerja sudah cukp lama. Mereka perlu mengayuh untuk mencari rezeki,” katanya.
Koay yang mempunyai 40 buah beca, memerlukan RM2,000 hingga RM3,000 untuk membaiki enam becannya yang rosak teruk. Ini akan mengambil masa beberapa hari sebelum beca-beca itu selamat digunakan.
“Kami hanya perlukan beca dibaiki dan selamat di atas jalan raya, jadi pengayuh boleh terus bekerja.”
Koay berkata dia mengalu-alukan sebarang bantuan kewangan dari kerajaan negeri, tetapi tidak opitimis kerana sudah tentu kerajaan negeri akan mengutamakan dana untuk usaha-usaha bantuan banjir serta membina semula infrastruktur dan rumah-rumah yang rosak.
Pengayuh-pengayuh beca ini biasanya berkumpul dan beroperasi di Tanjong, dimana kerusi Parlimen dan kawasan Komtar, Pengkalan Kota dan Padang Kota dipegang DAP.
Kata Koay lagi, dia tidak boleh membaiki semua beca itu sekali gus kerana masalah kos.
Pembuat beca Choo Choon Yew yang juga satu-satunya individu yang boleh membaiki beca di Pulau Pinang berkata, setakat ini dia telah membaiki dua buah beca. Sebuah lagi sedang menunggu giliran di luar bengkelnya di George Town.
“Nak baiki tu tak ada masalah, janji ada duit,” kata Choo. – 8 November, 2017.

Komen