PERSEKUTUAN Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mencadangkan pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi membantu pengguna berjimat untuk menangani kenaikan kos sara hidup.
Selain itu, FFM berkata kerajaan boleh mengurangkan kadar tarif elektrik selama setahun bagi mengurangkan kos perniagaan dan mengekalkan operasi.
“FMM berkongsi kebimbangan kerajaan tentang keperluan mengurangkan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna.
“Memandangkan SST merupakan cukai tunggal yang dikenakan sebagai kos akhir produk, FFM mencadangkan pengurangan SST sebanyak 2% bagi tempoh 12 bulan.
“Langkah ini akan menggalakkan perniagaan sekali gus meningkatkan kadar pelaburan dan membuka peluang pekerjaan serta menaikkan pendapatan rakyat,” kata Presiden FMM Soh Thian Lai.
Namun Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam berkata pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan pada 27 Februari ini bakal melibatkan pembangunan pelancongan tempatan.
Beliau berkata kerajaan kini berusaha mewujudkan pakej yang terbaik bagi menggalakkan sektor tersebut yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19 di China.
Soh berkata Putrajaya perlu memberi pengecualian cukai jualan terhadap semua input bagi pengilang dan perkhidmatan tertentu.
Soh berkata kerajaan juga perlu mengurangkan bayaran levi kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia daripada 1% kepada 0.5% untuk semua pekerja bagi tempoh setahun bagi membantu perniagaan yang terjejas ekoran kelembapan perdagangan dan kekangan aliran tunai.
“Bank juga perlu melanjutkan tempoh bayaran bagi syarikat yang terjejas dengan mengurangkan tempoh pinjaman tidak berbayar dari tiga bulan hingga enam bulan.
“Bank Negara Malaysia juga boleh mengurangkan 50 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk menampung sebarang aktiviti ekonomi yang sederhana.”
Soh berkata untuk meningkatkan lagi penggunaan domestik, kerajaan perlu mengurangkan sumbangan pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 3%.
“Langkah ini akan memberi lebih wang kepada rakyat, sekali gus meningkatkan jumlah perbelanjaan untuk merangsang ekonomi.”
Beliau berkata susulan kelembapan sektor pelancongan antarabangsa, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan tarif elektrik bagi pusat membeli-belah dan restoran-restoran yang akan mengalami penurunan mendadak dalam perniagaan berikutan penurunan aliran pelancong. – 16 Februari, 2020.
Komen