DEWAN Ulama PAS hari ini menerima usul yang mendesak parti Islam itu memutuskan hubungan dengan sekutunya, PKR.
Bagaimanapun, usul itu menyatakan keputusan muktamad sama ada hendak memutuskan hubungan dengan PKR perlu disahkan oleh Majlis Syura PAS yang terdiri daripada barisan ulama kanan parti itu yang akan memberi garis panduan kepada parti menurut lunas Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Khairuddin Aman Razali berkata ini kerana Majlis Syura ialah pembuat keputusan akhir berkenaan isu berkaitan hubungan PAS dengan parti politik lain.
Usul itu yang dibentangkan perwakilan PAS Negeri Sembilan Mohd Husainy Hussain diterima sebulat suara oleh Dewan itu.
“Tidak ada keperluan untuk mengkaji sama ada kita perlu putuskan hubungan ini atau tidak. Saya tahu keputusannya perlu disahkan oleh Majlis Syura tetapi saya hendak cerai,” kata Husainy ketika membentangkan usul itu.
Husaini membentangkan usul itu bagi pihak Dewan Ulama Johor dan Perak, yang juga mahu membawa usul terhadap PKR berkenan.
Hubungan PAS dan PKR tegang sejak 2015 selepas berlakunya perpecahan daripada pemilihan parti itu yang menyaksikan pemimpin terkemuka keluar PAS dan seterusnya terkuburnya Pakatan Rakyat.
Parti Islam itu juga tidak selesa dengan PKR menjadi sekutu DAP dan Amanah, parti serpihannya. PAS berulang kali berkata ia tidak akan bekerjasama dengan DAP atau Amanah.
PAS menuduh pemimpin PKR menghina mereka tetapi kedua-duanya masih bekerja bersama dalam kerajaan negeri di Selangor.
Ketika membentangkan usulnya hari ini, Husaini menggariskan beberapa perkara untuk menjustifikasikan perceraian PAS-PKR.
Antaranya ialah PKR dan DAP melengahkan rang undang-undang persendirian PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 dan PKR masih bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
“Pada 2015, mereka juga mengambil satu kerusi Parlimen kita. PAS bersabar selama dua tahun dan saya fikir sudah tiba masanya,” katanya. – 27 April, 2017.
Komen