PKR Terengganu pantau belanja royalti minyak


Diyana Ibrahim

Perbelanjaan itu perlu dipantau bagi memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan Terengganu tidak diketepikan selepas kerajaan menerima bayaran royalti berjumlah RM1.28 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2020.

PKR Terengganu akan mengeluarkan buku laporan bagi memantau perbelanjaan kerajaan negeri ke atas wang RM1.6 bilion dari hasil royalti petroleum.

Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berkata laporan itu membolehkan rakyat menilai sama ada kerajaan negeri di bawah PAS itu telus dalam memanfaatkan duit royalti minyak.

“Kita sedang mengumpul rapi perkara ini dan kita akan bentang (laporan) secara struktur yang boleh difahami.

“Kita akan buat pengumuman nanti dan kita harap laporan ini dapat beri pencerahan kepada rakyat,” kata bekas Adun Bandar itu kepada The Malaysian Insight.

Katanya, perbelanjaan itu perlu dipantau untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri tidak diketepikan selepas kerajaan menerima bayaran royalti berjumlah RM1.28 bilion itu.

Paling utama adalah dalam soal membasmi kemiskinan yang menurutnya masih gagal ditangani kerajaan Terengganu walaupun menerima banyak wang dalam bentuk bayaran royalti.

Ini kerana PAS tidak pernah dilihat membentangkan pelan pembangunan atau blueprint untuk menangani kemiskinan dan banyak dasar dan program membantu golongan itu tidak diteruskan.

Beliau memberi contoh, program tajaan biasiswa pelajar ke luar negara yang tidak lagi wujud.

“Kita pernah cabar kerajaan negeri untuk bentang kewangan mereka daripada hasil duit royalti tapi senyap. Jadi perkara ini yang sedang dibincang dan dinilai rakyat,” katanya.

Azan Ismail berkata laporan itu membolehkan rakyat menilai sama ada kerajaan negeri di bawah PAS itu telus dalam memanfaatkan duit royalti minyak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2020.

Tambahnya, dasar kerajaan negeri sepatutunya menumpukan usaha membasmi kemiskinan rakyat tetapi apa dilihat rakyat waktu ini adalah sikap pemimpin PAS menunjuk kemewahan.

“Rakyat sekarang nilai apa yang kerajaan negeri buat. Sebab setiap kali kerajaan negeri akan beri alasan tidak ada duit.

“Tapi di Kelantan tahu-tahu saja mereka beli kereta mewah. Di Terengganu exco bermewah hujung tahun semua hilang bercuti di Eropah.

“Mereka sendiri tunjuk di laman sosial. Perkara ini tidak pernah berlaku dulu,” katanya.

Kerajaan Terengganu buat julung kalinya berjaya mengawal sendiri wang hasil petroleum itu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan.

Pentadbiran PAS yang dipimpin Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar menerima bayaran royalti peringkat pertama bagi tahun 2018 dan 2019 yang dibuat secara tiga kali berjumlah RM450 juta.

Anggaran keseluruhan yang akan diterima dianggar mencecah RM1.6 bilion dengan baki bayaran seterusnya dijangka akan diterima pada September.

Ketika PAS menguasai Terengganu selepas pilihan raya umum (PRU) 1999, wang royalti itu dibayar sebagai wang ehsan melalui jawatankuasa kawalan Barisan Nasional (BN).

Ia disalurkan semula secara terus kepada kerajaan negeri apabila Terengganu jatuh semula ke tangan BN dalam PRU seterusnya.

Bayaran itu  membolehkan Terenganu menceburi pelaburan melalui Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA) bawah BN.

Dana kedaulatan itu diubah menjadi syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang seterusnya dibelit kontroversi dan menjadi fokus siasatan skandal kewangan terbesar dunia.

Terengganu kembali ditadbir PAS selepas pilihan raya umum tahun lalu dan menerima bayaran royalti berkenaan seperti dijanjikan oleh kerajaan persekutuan baharu pimpinan PH. – 15 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen