DR Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu dan tidak terlibat dengan dakwaan adanya gerakan mengumpulkan akaun bersumpah ahli Parlimen untuk menyatakan sokongan kepadanya kekal sebagai perdana menteri.
Dr Mahathir berkata beliau sendiri hairan bagaimana timbul laporan adanya 138 ahli Parlimen yang menandatangani akuan bersumpah menyokongnya kekal sehingga habis penggal.
“Hari ini Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti. Bagaimana boleh dapat angka 138, yang itu orang lain punya kerja, saya tidak tahu mereka boleh buat macam itu.
“Maknanya PH mesti sokonglah (sebab itu) dapat angka macam itu,” kata beliau dalam satu sidang media di Langkawi, hari ini.
Ditanya adakah beliau tahu tentang akuan bersumpah itu, Dr Mahathir berkata beliau mendengar “macam-macam cerita”.
“Saya dengar macam-macam cerita… sampai (mahu saya) jadi PM 20 tahun lagi.
“Saya umur 94, beberapa bulan lagi umur 95. Mana boleh tahan (untuk pegang jawatan PM),” jelasnya.
Semalam, dalam pertemuan dengan Dr Mahathir, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau membangkitkan gerakan mengumpulkan tandatangan untuk menyokong perdana menteri.
“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan,” kata Anwar.
Awal pagi ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, wujud satu akuan bersumpah untuk menyokong Dr Mahathir memegang jawatan PM sehingga akhir penggal.
Laporan yang memetik sumber itu berkata, sejumlah 138 tandatangan daripada ahli Parlimen berjaya dikumpulkan.
Daripada 138 ahli Parlimen itu, 26 orang daripada PKR, sekurang-kurangnya 13 daripada 39 ahli Parlimen Umno, dan 26 lagi daripada Bersatu.
PKR pada waktu ini menguasai 47 kerusi, paling banyak berbanding DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11) dalam PH.
Manakala Warisan, parti mesra PH yang diketuai Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menguasai sembilan kerusi.
Barisan Nasional termasuk Umno pula menguasai 41 kerusi manakala PAS 18 kerusi. – 14 Februari, 2020.
Komen