Nelayan Pulau Pinang ikat perut, cuaca buruk halang ke laut


Muzliza Mustafa

Seorang nelayan dilihat sedang membuat persiapan sebelum turun ke laut di jeti Teluk Bahang, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 November 2017.

PARA pengguna mungkin mengadu mengenai harga ikan yang tinggi di Pulau Pinang tetapi cuaca buruk menghalang nelayan daripada turun ke laut kerana tidak mampu membaiki bot yang rosak.

Nelayan di Teluk Bahang seperti Mohd Fitri Mohd Sharif, perlu bergantung kepada elaun RM300 daripada kerajaan dan dengan simpanan yang sedikit selepas dilanda ribut pada petang Sabtu yang menyebabkan banjir besar di Pulau Pinang.

Bapa berusia 34 tahun dengan empat anak ini berkata hanya mempunyai wang sekadarnya untuk menampung keluarganya buat sementara waktu.

Elaun daripada Lembaga Kemajian Ikan Malaysia (LKIM) akan digunakan untuk membeli susu dan lampin untuk anak bongsunya yang berumur dua tahun. Anak-anak yang lain adalah 3, 7 dan 13 tahun.

“Saya bergantung kepada duit simpanan untuk membeli keperluan asas lain untuk keluarga,” katanya ketika ditanya bagaimana nelayan seperti dia meneruskan kehidupan selepas kejadian ribut yang mengakibatkan  bot rosak dan berdepan kemungkinan cuaca lebih buruk.

Teluk Bahang yang terletak di pantai barat laut Pulau Pinang adalah penempatan kepada kira-kira 400 nelayan.

Seperti Fitri, menjadi nelayan adalah turun temurun daripada ayah dan ia adalah satu-satunya kerja yang mereka tahu.

“Saya perlu mencari kerja lain jika cuaca buruk berterusan. Masalahnya, saya tidak pernah buat kerja lain sebelum ini dan saya tidak pasti apa jenis kerja yang sesuai dengan saya,” katanya.

“Saya menjadi nelayan sejak berumur 15 tahun.”

Mohd Fitri Mohd Sharif dan kebanyakan nelayan di Teluk Bahang, Pulau Pinang terpaksa bergantung kepada batuan elaun RM300 untuk meneruskan kehidupan sebelum cuaca mengizinkan mereka turun ke laut semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 November 2017.

Bapanya, Mohd Sharif Mohd Ali, 64, mula turun ke laut ketika berusia 12 tahun. Dia yang turut menerima elaun sebanyak RM300 daripada LKIM berkata, tiada pilihan lain tetapi selain turun ke laut.

“Saya tidak mempunyai kemahiran lain. Kami hanya akan mempunyai wang apabila menangkap ikan,” katanya.

Para nelayan Pulau Pinang mendapat antara RM100 hingga RM200 sehari apabila turun ke laut. Dalam cuaca dan keadaan yang baik, mereka boleh mendapat sehingga RM1,000 sehari.

Elaun itu menjadi penyelamat bagi nelayan ketika dilanda cuaca buruk yang membolehkan Sharif dan Fitri tinggal di rumah beberapa hari sebelum kembali ke laut.

Bagaimanapun, Ahmad Junaidi Ahmad Juhari tidak begitu bernasib baik. Dia mengendalikan bot nelayan tanpa lesen.

Bot berusia 33 tahun itu rosak teruk pada Ahad, ketika ombak kuat menghempasnya ke batu. Kos membaiki akan menelan belanja ribuan ringgit dan ia di luar kemampuannya.

Dia tidak pernah berniat untuk beroperasi secara haram tetapi permohonan mendapatkan lesen beberapa kali ditolak tanpa sebarang alasan.

Tidak dapat turun ke laut tanpa bot dan tidak mampu menampung kos membaikinya, Junaidi berkata dia merancang untuk meminta pertolongan rakannya untuk menumpang dan menangkap ikan bersama.

“Saya tidak boleh duduk di rumah dan biarkan anak perempuan saya berusia 5 tahun mati kelaparan. Walau macam manapun, saya mesti kerja,” katanya.

Ahmad Junaidi Ahmad Juhari (baju putih) membantu rakannya membaiki bot yang rosak di Teluk Bahang, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 November 2017.

Para nelayan Teluk Bahang membekalkan ikan ke seluruh Pulau Pinang. Rakan-rakan mereka di Kuala Muda, Kedah menampung bekalan ini.

Tetapi dalam cuaca buruk ini, “walaupun ada yang berdegil” keluar ke laut, bekalan tidak masih tidak mencukupi untuk Pulau Pinang, kata pengurus kanan cawangan LKIM Teluk Bahang, Mohd Kamal Mohd Hassan.

Beliau berkata pengguna perlu menjangkakan kenaikan harga ikan meningkat sebanyak 30% jika keadaan berterusan.

“Isteri saya yang pergi ke pasaran hari ini memberitahu tiada ikan dijual. Oleh itu, bersedialah  melihat kenaikan harga sebanyak 30% atau lebih ... jika cuaca buruk berterusan,” katanya.

Beliau berkata LKIM menyediakan bantuan kepada ahli berlesen yang mengalami kerosakan kepada bot atau rumah akibat cuaca buruk.

Pihak berkuasa perikanan sedang menilai kerugian yang ditanggung oleh nelayan Pulau Pinang sebelum bantuan disalurkan oleh kerajaan persekutuan. – 8 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen