LIMA tahun lalu, sekumpulan Muslim membuat bantahan terhadap sebuah gereja di kawasan perumahan mereka di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor, mendakwa ia mengganggu keharmonian kaum di situ.
Laporan polis dibuat, ketegangan berlanjutan dan kerajaan negeri Selangor campur tangan untuk melindungi gereja berkenaan dan haknya untuk meletakkan lambang salib di depan bangunannya.
Hari ini, kerajaan Pakatan Harapan berhasrat menubuhkan suruhanjaya yang akan menghentikan perbalahan seumpama itu menjadi luar kawalan dengan menjadi orang tengah antara masyarakat berbilang kaum berhubung perselisihan mengenai kaum dan agama.
Putrajaya sedang merangka rang undang-undang (RUU) untuk menubuhkan suruhanjaya bebas itu, yang pada masa ini akan dinamakan Suruhanjaya Rekonsiliasi dan Keharmonian Kebangsaan, yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Sehubungan itu, gabungan organisasi persatuan sivil yang termasuk kumpulan Islam terkemuka dan aktivis anti diskriminasi, pada masa ini sedang mengumpulkan maklum balas daripada rakyat biasa untuk RUU dan suruhanjaya berkenaan.
“Melihat kepada kepentingan suruhanjaya itu, kami mulakan komunikasi antara pihak berkepentingan untuk melihat apa yang diperlukan RUU itu dan suruhanjaya berkenaan,” kata Eugene Yap daripada Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
GBM ialah gabungan 26 kumpulan di negara ini, termasuk organisasi Islam seperti Pertubuhan Ikram (Ikram) dan Angkatan Belia Malaysia (Abim) bersama badan hak asasi manusia seperti Suaram dan Aliran.
Gabungan itu secara konsisten menolak hasutan kaum dan agama serta membantah isu itu digunakan oleh parti politik.
“Belum ada yang muktamad tetapi niatnya ialah untuk menghantar syor kepada kerajaan tentang apa yang patut ada dalam RUU dan suruhanjaya itu,” kata Yap kepada The Malaysian Insight selepas perbincangan pihak berkepentingan.
“Kami rasa suruhanjaya itu mekanisme yang baik untuk menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum. – 14 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen