Projek China di Malaysia tergendala kerana Covid-19


Angie Tan

Kebanyakan pekerja dari China pulang menyambut Tahun Baharu Cina tetapi terkandas di sana disebabkan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2020.

PROJEK pembinaan di Malaysia yang disokong syarikat China kini tergendala disebabkan wabak koronavirus (Covid-19) tetapi pemain industri masih tidak terlalu bimbang dengan kesannya.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang projek itu tergendala kerana kebanyakan tenaga kerja terkandas di China kerana wabak itu.

Bagaimanapun, mereka menjelaskan, sektor pembinaan tempatan tidak terlalu bergantung kepada buruh dari China ataupun bahan mentah dari negara itu.

Walaupun angka sebenar projek tergendala yang melibatkan syarikat China tidak diketahui, statistik industri menunjukkan pada 2019 terdapat 264 syarikat China terlibat dalam sektor pembinaan di Malaysia dengan jumlah pelaburan mencecah RM31 bilion.

Pemberhentian sementara projek disokong syarikat China itu disahkan sendiri oleh Leong Kien Keong, presiden persatuan Pembinaan Malaysia Kin Cho Hong.

“Ini adalah kerana pekerja yang mereka yang pulang ke China untuk Tahun Baharu Cina dan malangnya wabak berlaku. Ada bandar yang ditutup, (menyebabkan) pekerja tidak boleh kembali,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan projek lain masih berjalan seperti biasa.

“Syarikat tempatan mengupah buruh dari Bangladesh, Indonesia dan orang tempatan, jadi tiada masalah pekerja dengan projek itu,” kata Leong.

Ng Tong Chun, seorang perunding daripada persatuan Pembinaan Malaysia Kin Cho Hong pula berkata kesan wabak itu kepada industri pembinaan Malaysia masih terbatas, menambah yang sektor itu memang sedang dalam kelembapan sejak beberapa tahun lepas lagi.

Ng juga berkata kebanyakan bahan mentah keperluan sektor itu seperti simen dan besi dikeluarkan dalam negara dan hanya sebilangan kecil diimport dari China.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia Foo Chek Lee juga bersetuju dengan perkara itu, menambah yang bahan dahulunya diimport dari China kini boleh didapati di Malaysia.

“Sebelum ini anda boleh dapat lebih murah dari China, jadi semua pemain industri mendapatkannya dari sana. Tetapi, sekarang kita boleh dapat bahan sama dalam negara, dan ia mencukupi untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Foo juga menggesa pekerja pembinaan berjaga-jaga dan berhati-hati bekerja, termasuk memakai topeng muka, memantau suhu badan dan mengambil semua langkah pencegahan memerangi virus itu.

Wabak itu yang bermula di Wuhan, China kini sudah membunuh sekurang-kurangnya 1,357 orang di seluruh dunia dan kes jangkitan mencecah lebih 60,000. Malaysia mengesahkan 19 kes positif melibatkan 13 warga China dan enam rakyat tempatan. – 14 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen