Rosmah minta projek solar dipercepat, kata saksi


Ravin Palanisamy

Dr Madinah Mohamad memberitahu mahkamah yang Rosmah Mansor (gambar) memintanya mempercepatkan projek solar sekolah di Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Februari, 2020.

SAKSI keenam pendakwaan kes panel solar Rosmah Mansor, Dr Madinah Mohamad memberitahu mahkamah yang isteri Najib Razak itu memintanya mempercepatkan projek solar hibrid di Sarawak yang diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Ketika membaca keterangan bertulisnya, Madinah yang merupakan ketua setiausaha Kementerian Pendidikan pada 2013 sehingga 2016 berkata, kejadian “menakjubkan” itu berlaku selepas beliau menghadiri majlis Yayasan Permata yang dinaungi Rosmah di Putrajaya.

Madinah menghadiri majlis Permata yang turut dihadiri Rosmah itu atas tangggungjawabnya sebagai ahli lembaga pengarah.

“Kejadian menakjubkan itu berlaku selepas majlis Permata tamat. Rosmah sedang berjalan ke keretanya. Saya menemaninya di belakang dengan VVIP lain.

“Bila Rosmah masuk kereta, dia turunkan tingkap dan lambai memanggil saya. Bila saya dekat, dia beritahu ‘Awak tolong tengok projek Jepak. Percepatkannya.’

“Saya jawab Insyaallah dan dia beredar,” kata Madinah.

Tambahnya lagi, beliau terkejut dengan tindakan Rosmah yang berminat dengan projek itu dan mula tertanya-tanya mengenainya, kerana menurutnya Rosmah tidak pernah meminta bantuannya dalam projek kerajaan sebelum itu.

Madinah menjelaskan Rosmah hanya meminta bantuan daripadanya sebelum itu sekiranya ia ada kaitan dengan program Permata.

Madinah menambah yang permintaan Rosmah itu mewujudkan “rasa tergesa-gesa” untuknya meminta maklumat lanjut projek itu.

Jelasnya, beliau merasakan demikian kerana kedudukan Rosmah sebagai isteri perdana menteri, yang pada pandangannya boleh mempengaruhi Najib.

“Jika saya tak bertindak, Rosmah boleh mengadu kepada Najib tentang kelewatan projek disebabkan pihak saya. Tambahan pula, (bekas) perdana menteri adalah orang yang mengeluarkan arahan pelaksanaan projek solar hibrid oleh Jepak, menggantikan projek genset diesel.

“Jadi, sebagai penjawat awam, apa sahaja amaran daripada perdana menteri adalah perkara serius,” katanya.

Rosmah, 69, berdepan tiga pertuduhan rasuah, salah satunya menerima suapan RM187.5 juta untuk membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek solar hibrid di Sarawak.

Beliau juga dituduh menerima suapan berjumlah RM6.5 juta antara 2016 dan 2017.

Madinah juga mendedahkan pembantu Rosmah ketika itu, Rizal Mansor ada berjumpanya di majlis Permata itu untuk bertanyakan status projek solar hibrid itu.

“Rizal minta saya tengok projek solar Jepak dan saya hanya jawab okay, okay,” katanya.

Madinah berkata beliau tidak ingat tarikh sebenar majlis tetapi mengesahkan ia berlaku sebelum Jun 2016, tambahnya beliau tidak tahu banyak mengenai projek berkenaan ketika ditanya Rosmah pada majlis itu. – 13 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen