KERJA sia-sia.
Ia gambaran paling tepat bagi tindakan diambil kumpulan gabungan baru Melayu-Islam untuk mencabar di mahkamah kesahihan kewarganegaraan yang diberikan kepada 1.75 juta bukan Melayu antara 1957 hingga 1970.
Menurut pakar Perlembagaan, walaupun sesiapa sahaja boleh mencabar kesahihan kewarganegaraan yang diberikan kepada rakyat Malaysia, jarang berlaku bagi mahkamah membenarkan sekumpulan besar individu tanpa kewarganegaraan.
Abdul Aziz Bari berkata beliau tidak pernah bertemu kes di mana mahkamah akan membuat keputusan melampau dengan membatalkan kewarganegaraan terutama apabila ia melibatkan sejumlah individu yang ramai.
“Anda ada bahagian di dalam undang-undang yang dikenali sebagai keputusan dasar, yang bermaksud mahkamah akan mengambil kira kesukaran yang akan timbul jika pendirian tertentu dalam undang-undang diambil.
“Ini bermakna mahkamah tidak akan melakukan sesuatu yang tidak logik, tidak adil dan akan mewujudkan kesusahan atau kemustahilan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau diminta mengulas mengenai langkah kumpulan yang baru ditubuhkan dikenali Barisan Bertindak Melayu Islam (Bertindak), yang mahu mencabar di mahkamah kesahihan kewarganegaraan diberikan kepada 1.75 juta bukan Melayu antara 1957 dan 1970.
Kumpulan itu mendakwa prosedur utama mengangkat sumpah tidak diikuti semasa memberikan kewarganegaraan kepada bukan Melayu. Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Muafakat, Yayasan GPMS dan Pembela antara ahli dalam Bertindak.
Aziz berkata, kumpulan itu boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah tetapi mereka tidak akan berjaya.
“Saya tidak rasa mahkamah akan mentafsir peruntukan yang akan menafikan hak ramai orang,” katanya, merujuk kepada Bahagian III Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kewarganegaraan.
Peguam Syahredzan Johan dalam kolumnya di akhbar harian berbahasa Inggeris The Star, bertarikh 27 Januari, menjelaskan pada dasarnya ada dua jenis kerakyatan di Malaysia, yang pertama kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang dan kedua terdiri daripada mereka yang memperoleh kewarganegaraan melalui proses formal.
“Jenis pertama adalah kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang. Mereka menjadi rakyat secara automatik semasa dilahirkan, tanpa perlu memperoleh kewarganegaraan melalui proses formal. Sebagai contoh, mereka yang lahir di Malaysia, mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa warga Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama. Kebanyakan warga Malaysia memperoleh kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang.”
“Kumpulan kedua terdiri daripada mereka yang memperoleh kewarganegaraan melalui proses formal, sama ada pendaftaran atau penaturalisasian. Mereka tidak dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Mereka adalah rakyat negara lain sebelum memperoleh kewarganegaraan Malaysia,” katanya.
Syahredzan berkata rakyat jenis pertama tidak boleh dilucutkan kewarganegaraan atas alasan “tidak setia” atau “pengkhianatan” dan hanya boleh kehilangan kewarganegaraan jika mereka secara sukarela menyerahkannya (jika mereka memperoleh kewarganegaraan negara lain atau jika mereka mempraktikan hak di negara lain yang eksklusif kepada penduduk negeri itu).
“Bagi jenis kerakyatan kedua, mereka boleh dibatalkan kerakyatan oleh kerajaan Persekutuan jika terbukti tidak setia atau disebabkan sebab lain.
“Perlu ditekankan bangsa atau etnik tiada kaitan dengan jenis warganegara anda,” katanya.
Mengenai dakwaan kumpulan itu yang penerima 1.75 juta kewarganegaraan memintas proses angkat sumpah, Aziz berkata, pilihan mereka adalah salah.
“Ia adalah kerajaan memerintah yang memutuskan mereka ini patut diberikan kewarganegaraan.
“Jadi tanggungjawab terletak pada kerajaan, bukan pada penerima. Mereka fikir mungkin dapat membongkar sesuatu tetapi akhirnya, mereka meletakkan rakan sendiri, Najib Razak, di kandang tertuduh.
“Kerajaan sekarang pada dasarnya adalah kesinambungan daripada kerajaan sebelum ini,” katanya.
Pemimpin Sekretariat Bertindak Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata keputusan kumpulan untuk membangkitkan isu kewarganegaraan bukan tindakan balas terhadap bukan Islam kerana mencabar keputusan kerajaan menganugerahkan status penduduk tetap kepada pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.
Beliau berkata kumpulan itu membawa perkara itu ke mahkamah kerana ia sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan.
Mungkin pandangan terbaik tindakan gabungan ini daripada Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia Syed Saddiq.
Beliau berkata: “Ia merisaukan menyaksikan pihak tidak bertanggungjawab cuba mengganggu fabrik negara kita dengan bertindak melucutkan kewarganegaraan rakyat Malaysia.
“Kita hidup antara satu sama lain sebagai satu rakyat selama beberapa dekad. Kita makan bersama, ke sekolah bersama dan juga menentang peperangan bersama-sama. Namun rakyat Malaysia tidak bersyukur ini berusaha memadamkan sejarah perpaduan yang menyatukan kita semua.” – 27 April, 2017.
Komen