Eksport EnE, minyak sawit bantu negara hadapi cabaran dagangan global


Sheridan Mahavera

Matrade cuba memperkukuhkan eksport ke Asean yang mencatatkan lebih satu perempat atau 26.6% jumlah keseluruhan perdagangan pada RM488.91 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2020.

PENINGKATAN permintaan dunia untuk litar semi konduktor, litar bersepadu dan produk kelapa sawit antara faktor yang Malaysia harapkan untuk meningkatkan perdagangan dalam persekitaran global yang mencabar pada tahun ini.

Semi konduktor yang digunakan dalam peralatan elektronik menjadikan 59.5% eksport elektrik dan elektronik (EnE) Malaysia dan permintaannya dijangka meningkat sehingga 5.9% pada 2020, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Menurut Matrade, produk EnE menjadikan 37.8%, yang terbesar daripada eksport keseluruhan 372.67 bilion pada 2019.

Sementara itu, eksport produk minyak kelapa sawit iaitu sebanyak RM43.10 bilion pada 2019 dijangka meningkat berikutan pemintaan tinggi dan bekalan rendah, kata agensi itu.

Matrade memberitahu The Malaysian Insight, pihaknya kini cuba memperkukuhkan eksport ke Asean, yang mana ia mencatatkan lebih satu perempat atau 26.6% jumlah keseluruhan perdagangan pada RM488.91 bilion.

Matrade bersama-sama dengan agensi lain sedang berusaha untuk menahan penurunan dagangan sebanyak 4.4% dengan sembilan jiran Malaysia tahun lepas, yang disebabkan oleh penurunan eksport produk EnE, petroleum dan getah.

Agensi itu juga cuba mengeksport ke negara ekonomi baru seperti Mexico, Nigeria, Bangladesh, Sri Lanka dan Qatar untuk mempelbagaikan pasaran Malaysia.

Unjuran dari Matrade ini dibuat ketika dunia sedang berjuang untuk mengekang penyebaran novel coronavirus, atau Covid-19, yang mana ahli ekonomi telah memberi peringatan ia akan menyebabkan kelembapan ekonomi global pada suku pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata masih terlalu awal untuk menganggarkan kesan wabak terhadap perdagangan Malaysia dengan China, yang tahun lepas berjumlah lebih daripada RM315 bilion.

Ini kerana virus telah melanda semasa musim cuti Tahun Baru Cina, satu tempoh yang secara tradisinya lembab kerana kilang-kilang telah ditutup selama satu hingga dua minggu.

Ambank Research mengatakan bahawa walaupun tanpa wabak virus, eksport Malaysia dijangka berkembang sebanyak 1% hingga 2% tahun ini berikutan kebimbangan mengenai perang perdagangan AS-China yang sedang berlaku.

Ong, dalam pembentangan baru-baru ini, turut menyatakan tentang risiko yang timbul susulan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran serta tindakan United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah pada 31 Januari.

“Kementerian telah mengadakan pertemuan dan kini sedang berunding dengan kerajaan UK mengenai hubungan dagang kedua-dua negara selepas Brexit. Kami masih mengesahkan butiran dan akan mengumumkannya pada waktu yang ditetapkan.”

Lebihan dan penurunan

Malaysia mencatatkan lebihan dagangan meningkat sebanyak 11% kepada RM137.39 bilion disebabkan oleh eksport yang lebih tinggi berbanding dengan import, tetapi perdagangan keseluruhan merosot sebanyak 2.5% kepada RM1.835 trilion.

Penurunan ini disebabkan oleh permintaan global yang berkurangan disebabkan ketegangan perdagangan dan ekonomi dunia yang lebih perlahan, kata Matrade.

Dagangan lebih tinggi dicatatkan dengan Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Kemboja, Mexico dan United Kingdom (UK).

Tetapi dagangan mencatatkan penurunan dengan Singapura, Hong Kong, Perancis, Thailand dan Jepun.

China kekal sebagai rakan perdagangan yang signifikan dan menyumbang 17.2% daripada jumlah perdagangan pada RM315.19 bilion, peningkatan 0.2% daripada 2018.

Namun rantau Asean kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dan Matrade berkata ia mahu membalikkan penurunan sebanyak 4.4% pada tahun 2019.

“Singapura, Thailand dan Vietnam kekal sebagai tiga destinasi eksport utama Malaysia, menyumbang 80% daripada eksport Malaysia ke Asean,” kata Matrade.

“Matrade bersama kementerian dan agensi lain akan mengambil bahagian dan menganjurkan lebih 50 program promosi perdagangan di Asean pada tahun 2020, terutamanya di Indonesia, Filipina, Singapura dan Vietnam.

“Kami juga akan mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia, memberi tumpuan kepada makanan dan minuman (F&B), pembinaan dan bahan binaan, perkhidmatan profesional, EnE, produk gaya hidup, farmaseutikal dan peralatan perubatan serta produk dan perkhidmatan berkaitan ICT.”

Matrade juga mahu meningkatkan perdagangan ke pasaran baru seperti Mexico yang berjumlah RM9.05 bilion pada tahun 2019, Bangladesh (RM9.7b), Sri Lanka (RM3.56b) dan Nigeria (RM16.6b).

Walaupun masih kecil berbanding dengan pasaran utama Malaysia yang lain, perdagangan dengan sesetengah negara mencatat pertumbuhan dua angka pada 2019 antara 28.1% dan 75.1%.

“Selain daripada mempelbagaikan pasaran, kami juga mempelbagaikan eksport Malaysia dari segi produk dan perkhidmatan,” kata Matrade.

Antara produk yang muncul ialah peralatan perubatan, produk gaya hidup, produk aeroangkasa serta perkhidmatan seperti ICT, kandungan kreatif, perkhidmatan pembinaan dan infrastruktur.

Terdapat juga prospek yang kukuh dalam produk halal dan produk berasaskan minyak kelapa sawit.– 13 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen