WABAK Covid-19 masih belum capai peringkat krisis di Malaysia dengan tiada kes terbaharu dilaporkan setakat hari ini, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
“Kalaupun sampai ke tahap itu, kita bersedia untuk menanganinya. Sehingga hari ini, tiada episod baharu jangkitan,” kata Dr Dzulkefly kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Jumlah pesakit yang disahkan positif di sleuruh negara masih 18 kes, katanya, dan menambah tiada kematian dilaporkan.
Dr Dzulkefly mengulas mengenai kenyataan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus semalam yang mengatakan walaupun 99% kes dicatatkan di China, situasi masih lagi “memberi ancaman kepada seluruh dunia.”
“Ini adalah pernyataan oleh WHO,” kata Dzulkefly.
“Kita mengambil kira persepktif ini. Kita percaya kita tidak akan sampai ke tahap itu. Belum sampai ke tahap krisis yang mana kita perlu serahkan kepada perdana menteri (untuk isytihar darurat).”
Dzulkefly berkata, beliau dan pegawai kanannya mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya di Singapura berhubung rancangan penubuhan jawatankuasa kerja yang akan dipengerusikan timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara.
Usaha sama itu adalah untuk berkongsi maklumat dan pengurusan pesakit serta untuk menjalankan saringan ke atas 300,000 orang yang menyeberangi sempadan setiap hari, katanya.
Setakat ini, 550 ujian dijalankan ke atas pesakit yang mana 18 daripadanya disahkan positif. Terdapat 23 makmal ujian di seluruh negara dengan 54 pengumbas suhu dikendalikan oleh kementerian. 26 lagi pengimbas suhu telah ditempah, kata menteri.
Berhubung laporan satu kes jangkitan ke atas seorang lelaki di Johor hari ini, Dr Dzulkefly berkata, pihak kementerian sedang menyiasat laporan itu.
“Kita sentiasa menilai dan melihat situasi. Kerajaan hari ini terutamanya bahagian kesihatan, akan bertanggungjawab untuk menyemak keperluan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang perkembangan.”
Virus berkenaan yang mula dikesan di Wuhan, China 31 Disember lalu meragut lebih 1,000 nyawa dan menjangkiti lebih 42,000 orang serta telah mengjangkau ke 25 negara.– 12 Februari, 2020.
Komen