Pengarah urusan Jepak Holdings kroni Mahdzir, kata peguam bela


Ravin Palanisamy

Mahdzir Khalid menafikan bahawa pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin dan rakan niaganya Rayyan Radzwill Abdullah adalah kroninya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Februari, 2020.

BEKAS menteri pendidikan Mahdzir Khalid menafikan bahawa pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin dan rakan niaganya Rayyan Radzwill Abdullah adalah kroninya.

Ketika disoal balas peguam bela Jagjit Singh, Mahdzir ditanya jika pernah memberitahu Najib Razak atau isteri bekas perdana menteri itu, Rosmah Mansor mengenai Rayyan.

Mahdzir memberitahu mahkamah beliau memberitahu Najib yang Rayyan adalah rakan niaga Saidi dan mengaku tidak memaklumkan kepada Rosmah mengenai identiti lelaki itu.

Jagjit menegaskan bahawa penjelasan kepada Najib mengenai Rayyan tidak dinyatakan dalam pernyataan saksi Mahdzir. Peguam itu mendakwa Saidi dan Rayyan adalah kroni Mahdzir kerana bekas menteri itu menerima wang sogokan dari dua individu berkenaan.

Jagjit: Dalam pernyataan saksi kamu, dinyatakan bahawa PM bertanya kepada kamu tentang Rayyan. Ada kamu beritahu PM siapa Rayyan?

Mahdzir: Ya. Saya beritahu itu rakan niaga Saidi.

Jagjit: Kenapa ini tidak ada dalam penyataan saksi kamu? Kamu baru kata yang Rayyan adalah wakil Jepak tetapi ada beritahu Najib yang Saidi dan Rayyan kroni kamu?

Mahdzir: Bila masa pula mereka kroni saya? Saya tak setuju.

Jagjit: Kamu terima duit dari mereka, jadi mereka kroni kamu lah.

Mahdzir: Tak setuju.

Jagjit kemudian terus menyoal Mahdzir mengenai pernyataan saksinya, pada bahagian di mana Mahdzir menyatakan bahawa Rosmah juga kata tidak tahu siapa Rayyan. 

Beliau bertanya sama ada Mahdzir memberitahu Rosmah yang Saidi dan Rayyan adalah kroninya. Mahdzir menjawab ‘tidak’.

Jagjit kemudian memberitahu mahkamah, dalam pernyataan saksinya Mahdzir berkata Rosmah menghubunginya pada 22 Disember 2016 tetapi surat pemberian kontrak dikeluarkan pada 10 November 2016.

Berdasarkan kepada perkara ini, Jagjit menegaskan bahawa Mahdzir menyembunyikan fakta dari Rosmah kerana beliau menerima wang dari Saidi. 

Mahdzir tidak setuju dengan peguam itu. – 12 Februari, 2020.   

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen