RAKYAT Malaysia terutamanya di Johor, dinasihatkan agar tidak bimbang dengan pembelian panik di Singapura selepas republik itu menaikkan tahap amaran tentang ancaman penularan wabak koronavirus pada Jumaat lalu.
Pengendali pasar raya memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka terpaksa mengisi stok cawangan di Johor beberapa kali pada minggu ini dan menggesa rakyat Malaysia agar tidak panik kerana bekalan makanan mencukupi.
Pengarah Eksekutif NSK Trading Sdn Bhd Lim Ah Chuan berkata sejumlah besar rakyat Singapura berpusu-pusu membuat pembelian di pasar raya besar Johor Panda dekat Iskandar Puteri.
“Terdapat rakyat Singapura yang datang membeli, bukannya rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata rangkaian pasar raya NSK mempunyai bekalan yang mencukupi dan penduduk tempatan tidak perlu bimbang.
“Walaupun bekalan di pasar raya berkurangan, inventori kami adalah mencukupi untuk sebulan,” kata Lim.
Beliau berkata terdapat lima cawangan di Johor dengan dua daripadanya terletak berhampiran Singapura.
“Rakyat Singapura tidak sekadar membeli barangan keperluan pada hujung minggu tetapi juga pada hari biasa,” katanya.
NSK mempunyai 60 cawangan pasar raya di seluruh Malaysia.
Singapura menaikkan tahap amaran kepada jingga pada 7 Februari lalu selepas penularan koronavirus semakin melarat di republik itu.

Data terkini menunjukkan Singapura mencatatkan 45 kes positif koronavirus.
Di Malaysia, 18 kes positif direkodkan setakat ini.
Lebih 1,000 kematian dilaporkan di China sejak virus itu menular di Wuhan, wilayah Hubei dengan lebih 42,000 kes jangkitan dicatatkan di 27 buah negara di seluruh dunia.
Cawangan KK Mart di Johor juga menyaksikan pembelian panik dalam kalangan rakyat Singapura.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat KK Dr KK Chai berkata kebiasaannya stok diisi semula secara mingguan tetapi kini dilakukan setiap hari.
“Rakyat Singapura dan China datang ke cawangan Danga Bay kerana lokasinya yang dekat dengan Singupura selain ramai yang tinggal berhampiran,” katanya.
Tambahnya cawangan-cawangan lain di selatan juga menyaksikan ramai rakyat Singapura melakukan pembelian panik.
Katanya walaupun jumlah pelanggan bertambah 30-40%, stok barangan masih mencukupi.
“Biasanya, pusat pengedaran kita di Kuala Lumpur akan menghantar stok ke cawangan Johor sekali atau dua kali seminggu tetapi kini ia dilakukan dua hari sekali,” katanya.
KK mempunyai 300 cawangan yang beroperasi 24 jam sehari di seluruh negara.
Sejak penularan wabak di Wuhan, kira-kira 27 bandar di China ditutup dan dikenakan sekatan perjalanan keluar masuk.

Beijing merupakan terbaharu yang dikenakan langkah sama.
Lim berkata NSK biasa mengimport bawang dari China tetapi sejak krisis kesihatan itu berlaku pihaknya mendapatkan bekalan dari Thailand.
“Kita mengambil bekalan dari negara lain selain China. Sebagai contoh, kita juga mengimport ubi kentang dari Pakistan, India dan Bangladesh.
“Kita tidak menaikkan harga dan kita sudah menambah stok bekalan.”
Beliau berkata NSK sudah mempunyai pengalaman dalam berdepan krisis kesihatan seperti wabak SARS dan Ebola.
Beliau menggesa orang awam agar tidak melakukan pembelian panik kerana yakin kerajaan mampu mengawal krisis itu.
Chai juga memaklumkan KK Mart sudah menghentikan import barangan dari China dan kini mengambil stok dari pengedar tempatan.
Beliau menggesa rakyat Malaysia agar tidak mengubah tabiat membeli-belah sehingga menjadi pembelian panik. – 12 Februari, 2020.
Komen