PUTRAJAYA perlu menjelaskan pemotongan peruntukan untuk perubatan walaupun setelah menjana pendapatan menerusi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata ahli Parlimen DAP.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, ironinya pengurangan bajet untuk farmasi dan bekalannya bermula pada 2015, tahun yang sama GST diperkenalkan.
“Antara 2010 dan 2014, bajet untuk perubatan meningkat sekurang-kurangnya 10% setiap tahun.
“Namun bermula dari 2015, bajet untuk pembelian ubatan dikurangkan, walaupun terdapat peningkatan jumlah pesakit yang menggunakan khidmat penjagaan kesihatan kerajaan berikutan kenaikan kos sara hidup.
“Kerajaan Barisan Nasional perlu menjelaskan mengapa walaupun sudah mengutip pendapatan demi pendapatan daripada GST, mereka masih belum menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Katanya pada 2017, kerajaan memperuntukkan RM2.03 bilion (-3.785) untuk farmasi dan bekalan, berbanding RM2.10 bilion (-9.28%) pada 2016 dan RM2.32 bilion (-2.58%) pada 2015.
“Sekiranya kita tidak mampu membanteras rasuah, GST tidak akan menyelamatkan negara kerana anda boleh lihat walaupun GST membantu kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, bajet untuk bekalan ubat-ubatan di hospital kerajaan telah dikurangkan.
“Ini menunjukkan sekiranya tiada perubahan dari segi kewangan dan perubahan drastik dalam membanteras rasuah, saya rasa barisan di hospital kerajaan akan lebih panjang dan kualitinya semakin rendah,” katanya. – 7 November, 2017.
-federal_allocation_for_medication1__full.jpg)
Komen