MALAYSIA dan Singapura akan membentuk sebuah jawatankuasa kerja bersama antara pihak berkuasa kesihatan bagi menangani penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV), kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Keputusan membentuk jawatankuasa itu dicapai selepas Dr Dzulkefly mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya Gan Kim Yong melalui sidang video petang tadi.
Jawatankuasa itu bertujuan mengukuhkan kerjasama rentas sempadan bagi menangani wabak itu, katanya.
“Jawatankuasa itu akan dibentuk tidak lama lagi dan diketuai oleh timbalan menteri kesihatan masing-masing.
“Fokusnya ialah berkongsi maklumat dan penyelidikan untuk membendung virus itu dengan lebih berkesan,” kata Dr Dzulkefly dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Mengulas perkembangan semasa, Dr Dzulkefly berkata buat masa ini tiada kes baharu dilaporkan.
Katanya, kes jangkitan yang disahkan setakat ini kekal 18.
“Daripada jumlah itu, lapan adalah pesakit dalam siasatan, lapan kes jangkitan dan dua kes melibatkan rakyat Malaysia yang dibawa balik dari China,” katanya.
Daripada jumlah itu juga, 12 adalah warga China dan enam warga Malaysia.
Menurut Dr Dzulkefly, jawatankuasa bersama Malaysia dan Singapura akan turut membincangkan kesan penggunaan ubat antiviral dalam kalangan mereka yang dikesan positif.
Mengenai nasihat perjalanan ke Singapura, Dr Dzulkefly berkata ia antara isu yang akan dibincangkan oleh jawatankuasa.
Kerajaan republik itu pada Jumaat meningkat tahap penilaian virus dari Wuhan kepada peringkat jingga selepas 33 kes disahkan positif. Setakat semalam, 45 kes positif dengan 23 daripadanya melibatkan rakyat Singapura.
Mengenai mereka yang disahkan sembuh di Malaysia, Dr Dzulkefly berkata pihak berkuasa kesihatan akan membuat susulan. – 11 Februari, 2020.
Komen