MAHDZIR Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak mengetahui tentang tuntutan RM5 juta dan RM125 juta daripada Rizal Mansor kepada Jepak Holdings Sdn Bhd selepas pihak pembelaan bertanyakan mengenai perkara itu.
Semasa sesi soal balas, peguam pembelaan Jagjit Singh turut menyoal bekas menteri pendidikan itu sama ada beliau mengetahui Rizal pernah meminta 10-12% daripada projek solar hibrid di Sarawak.
Rizal merupakan pembantu Rosmah Mansor pada ketika itu.
Mahdzir yang merupakan saksi pendakwaan kelimat, turut ditanya tentang beberapa transaksi milik Rizal, tetapi ahli Parlimen Umno itu menjawab bahawa beliau tidak tahu.
Jagjit: Pada 20 Disember 2016, Rizal menerima RM500,000 untuk kempen Pemuda Umno?
Mahdzir: Saya tidak tahu.
Jagjit: Anda tahu Rizal berkempen untuk Pemuda Umno?
Mahdzir: Saya tidak ingat.
Jagjit: Pada 16 Ogos 2017, Rizal menerima RM30,000?
Mahdzir: Saya tidak tahu.
Jagjit: Anda tahu bahawa pada 12 Disember 2016, Rizal menerima RM50,000 untuk tempoh enam bulan?
Mahdzir: Saya tidak tahu.
Jagjit: Rizal menuntut RM5 juta dan RM125 juta daripada Jepak?
Mahdzir: Saya tidak tahu.
Jagjit: Rizal meminta 10-12% daripada projek solar hibrid?
Mahdzir: Saya tidak bersetuju.
Pada minggu lalu, Mahdzir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau menerima tekanan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Rosmah untuk menganugerahkan projek itu kepada Jepak yang disifatkjan sebagai sebuah syarikat yang kurang berkeupayaan.
Rosmah, 69, isteri kepada bekas perdana menteri, berdepan tiga tuduhan rasuah, satu daripadanya melibatkan RM187.5 juta sebagai balasan membantu syarikat Jepak mendapatkan projek solar yang bernilai RM1.25 bilion.
Beliau turut dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta pada 2016 dan 2017. – 11 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen