Sayu, Thaqif curahkan rasa hati dalam diari


Muzliza Mustafa

Ahli keluarga dan ibu Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi menahan sebak ketika mengiringi jenazah kanak-kanak itu ketika majlis pengebumian di Kota Tinggi, Johor malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 27 April, 2017.

HARI ini Isnin, saya rasa tak seronok di sini. Esok saya habis 42 hari saya nak telefon mak. Saya nak pindah kerana semalam saya kena tumbuk tanpa sebab.

Itu yang Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, tulis di dalam buku kerja rumah yang dijadikan diarinya.

Pelajar yang meninggal dunia petang semalam selepas beberapa hari kudung kakinya kerana terpaksa dipotong akibat dipukul di sekolah agama itu, menulis diari untuk melepaskan rasa sakit yang ditanggungnya selama berada di sana.

Dia tidak sabar untuk menanti hari berakhir supaya dia dapat menelefon ibunya.

“Dia suruh saya basuh talam tapi bukan giliran saya. Dia paksa saya. Lepas itu saya basuh cawan, ketika saya nak letak cawan itu dia terus tumbuk di belakang saya,” tulis Thaqif.

Individu yang dituduh memukulnya ialah pembantu warden asrama di sekolah.

Dalam tulisannya itu, dia berdoa supaya Tuhan membuka pintu hati ibu bapanya dan gurunya supaya membenarkan dia pindah ke sekolah lain.

“Saya tak boleh tahan lagi ya Allah bukakanlah hati mak bapaku dan Ustaz Afdal dan Sheikh Fahmi, harap-harap mereka semua mengizinkan saya pindah esok. Tolonglah makbulkan doaku ya Allah,” tulisnya.

Pelajar itu juga melahirkan hasratnya untuk menjadi seorang huffaz.

Di diarinya, kanak-kanak malang itu menulis: “Saya mahu jadi huffaz dalam masa dua tahun. Saya saya saya boleh. Kau boleh Thaqif!”

Dia juga menulis untuk menjadi seorang huffaz, dia kena mendengar cakap ibu bapanya, solat lima waktu dan menghafal surah mudah terlebih dulu.

Thaqif yang menghembuskan nafas terakhir pada 2.05 petang semalam dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail pada 19 April kerana jangkitan bakteria akibat penderaan yang berlaku di sekolah itu.

Jangkitan itu merosakkan kakinya hingga menyebabkan ia terpaksa dipotong pada 21 April.

Dia selamat dikebumikan lewat malam tadi selepas dibedah siasat.

Individu yang dituduh memukul Thaqif kini ditahan reman dan disiasat kerana membunuh. Dia direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

Laporan bedah siasat dijangka siap dalam tempoh dua minggu. – 27 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen