PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada hujung bulan ini atau awal Mac, kata Lim Guan Eng.
Menteri kewangan itu berkata kerajaan masih berurusan dengan pihak berkepentingan bagi mengetahui apa yang mereka harapkan daripada pakej itu.
“Kita akan mendapatkan input daripada semua pihak tetapi pengumuman tidak akan dibuat oleh saya. Ia akan dilakukan sama ada hujung bulan ini atau awal bulan depan.
“Kita sudah mengadakan mesyuarat semalam (dengan pihak berkepentingan) selama tiga jam dan kita akan mengadakan beberapa lagi perbincangan lanjut.
“Ini adalah pakej rangsangan, jadi kita perlu bersedia,” katanya selepas melancarkan skim MySalam di Putrajaya.
Guan Eng berkata Malaysia tidak berdepan sebarang risiko kemelesetan ekonomi walaupun kerajaan merancang untuk mempercepatkan pengumuman pakej rangsangan ekonomi.
Pakej itu akan dilakukan susulan penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCov) dan bertujuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Guan Eng berkata Kementerian Kewangan akan mendapatkan input daripada Kementerian Kesihatan tentang anggaran tempoh penularan dan kesan wabak itu.
“Ini (pakej) tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Kita perlu melihat kesan yang akan dihadapi bagi memastikan mereka yang terjejas akan mendapat bantuan yang mereka perlukan. Oleh itu kita perlu mendapatkan input daripada pelbagai pihak.
“Kebanyakan penganalisis ekonomi berkata wabak ini tidak akan berlanjutan, jadi sebab itu kita perlu memastikan pakej ini akan membantu mereka yang memerlukan untuk kekal mampan,” katanya.
Pakar ekonomi menganggarkan peruntukan antara RM10 bilion dan RM15 bilion diperlukan bagi menangani kesan penularan virus 2019-nCov terhadap ekonomi negara dengan tumpuan terhadap sektor pelancongan, pembuatan, kesihatan dan pendidikan. – 11 Februari, 2020.
Komen