PEMIMPIN gerakan Baju Merah
Kenyataan kesalnya itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum Hakim S Nantha Balan kemudiannya memerintahkan ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu membayar sejumlah ganti rugi yang tidak didedahkan nilainya kepada Zuraida.
Pertembungan antara Baju Merah dan polis berlaku di Ampang Point Mall pada 13 November selepas Jamal mengetuai penyokongnya mengikut Zuraida dan beberapa sukarelawan lain yang sedang mengedarkan risalah Bersih 5.
Jamal kemudian cedera dan berdarah di hidung selepas bergaduh dengan polis yang mengarahkannya dan penyokong bersurai.
Beliau kemudian memberitahu media “budak Zuraida pukul saya”.
“Saya mengeluarkan perkataan itu terhadap plaintif kerana rasa marah, maka saya menyesal dengan apa saya kata,” katanya membaca kenyataan di mahkamah hari ini.
Hadir sama ialah peguam Zuraida iaitu N Surendran, Latheefa Koya dan Shahid Adli. Jamal diwakili peguam V Mugunthan, Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi.
“Saya dengan ini menarik balik komen yang saya katakan ketika situasi tegang di Ampang Point Mall terhadap Zuraida Kamaruddin…,” kata Jamal.
“Sebagai tambahan, saya juga berjanji tidak akan mengulangi komen lanjut berkaitan insiden pada 13 November, 2016 itu terhadap plaintif.”
Jamal sebelum ini ada membuat komen berunsur ugutan susulan pergelutan pada November lalu itu.
“Saya tak puas hati. Saya akan kejar mereka lebih dari apa saya umumkan,” katanya dipetik sebagai berkata ketika itu.
“Saya akan cincang mereka.”
Empat hari selepas komen itu, Zuraida mengemukakan surat tuntutan terhadap Jamal, meminta dia menarik semula komen itu dan memohon maaf atas perkataan berunsur fitnah itu.
Jamal juga didakwa atas kesalahan merusuh pada April.
Pergeseran terbaru antara Jamal dan polis berlaku bulan lalu selepas dia memecahkan 20 kotak bir di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri Selangor di Shah Alam kerana membantah festival arak.
Jamal ditahan dan direman tiga hari susulan insiden itu. – 7 November, 2017.
Komen