BEKAS menteri luar Anifah Aman dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International lusa (Khamis) berkaitan pertemuan antara Najib Razak dan Allahyarham Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud pada 2010.
Peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini yang keterangan bertulis Anifah masih belum dimuktamadkan.
Najib sebelum ini memberi keterangan bahawa Raja Abdullah berikar memberi bantuan kewangan supaya pentadbirannya terus berkuasa pada satu pertemuan di Riyadh pada 11 Januari 2010.
Anifah, saksi keenam pembelaan, didakwa turut hadir pada pertemuan itu bersama-sama bekas duta Malaysia ke Arab Saudi Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf dan bekas menteri hal ehwal agama Jamil Khir Baharom.
Syed Omar dan Jamil sudah memberi keterangan perbicaraan kes.
Pasukan pembelaan Najib mahu mengukuhkan dakwaan bekas perdana menteri itu yang Raja Abdullah berjanji memberikan derma untuk membiayai kempen Barisan Nasional pada pilihan raya 2013.
Anifah yang keluar Umno pada September 2018 adalah ahli Parlimen Kimanis selama tiga penggal. Pada pilihan raya 2018, beliau menang dengan majoriti 156 undi menewaskan calon Warisan, Karim Bujang.
Kerusi Kimanis kemudiannya diarahkan kosong selepas mahkamah pilihan raya mendapati wujud persoalan dalam proses pengundian.
Kerusi itu kemudiannya dimenangi calon Umno Mohamad Alamin pada pilihan raya kecil bulan lepas, menewaskan Karim dengan majoriti 2,029.– 11 Februari, 2020.
Komen