PERTEMUAN antara Naib Presiden Parti Warisan Sabah Peter Anthony dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya esok ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Beliau dimaklumkan berhubung penangguhan itu sekitar jam 11.30 pagi tadi, iaitu dua jam selepas pegawai SPRM meminta beliau hadir ke Putrajaya.
Anthony ketika ditemui di Balai Polis Karamunsing hari ini kira-kira jam 2.30 petang tadi meluahkan rasa lega dengan penangguhan itu berikutan beliau belum bersedia untuk melakukan perjalanan buat masa ini kerana masalah kesihatan.
Peguamnya kini sedang “berunding” berhubung perjalanan ke Putrajaya apabila suruhanjaya berkenaan memaklumkan tentang perkara itu.
“Saya rasa tiada keperluan hadir ke Putrajaya untuk disoal siasat oleh pegawai SPRM. Kesemua kes, ssaksi dan projek yang terlibat ada di sini.
“Ia akan lebih menyukarkan kepada SPRM sekiranya kes itu dipindahkan ke Kuala Lumpur.
“Lagipun, saya mungkin tiada wakil peguam jika kes itu dibawa ke Semenanjung,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir di Balai Polis Karamunsing, naib presiden Warisan Junz Wong. Beliau hadir ke balai polis berkenaan untuk memberi keterangan berhubung beberapa perhimpunan Warisan yang diadakan bulan lalu.
Terdahulu, bekas ahli perniagaan itu berada di pejabat SPRM Sabah namun tidak tahu menahu sebab mengapa beliau sekali lagi dipanggil oleh suruhanjaya berkenaan.
SPRM kini giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan RM1.5 bilion dana Persekutuan yang diperuntukkan bagi pembangunan di kawasan luar bandar Sabah yang disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah antara 2009 dan 2015.
Anthony berkata, peguamnya kini sedang berunding untuk memboehkan soal siasat itu dijalankan di Sabah berbanding Putrajaya, dan mungkin akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar arahan SPRM sekiranya suruhanjaya itu tetap bertegas mahu beliau ke Putrajaya.
“Saya sedang menjalankan pemeriksaan kesihatan dan membeli bekalan ubat sebelum ke Kuala Lumpur,” katanya.
“Namun berdasarkan senarai projek yang ditunjukkan pegawai SPRM, ia mingkin berkaitan beberapa projek yang dijalanan syarikat saya beberapa tahun lalu..salah satu daripadanya berkaitan kontrak Universiti Malaysia Sabah,” katanya.
Anthony merupakan pengarah Asli Jati Engineering Sdn Bhd, syarikat yang kini sedang disiasat berhubung penyelewengan pada 2012 mengenai tuntutan palsu berjumlah RM43 juta bagi kerja penyelenggaraan kejuruteraan dan mekanikal di sebuah universiti.
Media bagaimanapun melaporkan Anthony dibebaskan daripada tuduhan itu pada 9 Ogos tahun yang sama.
‘Kes itu bukan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah , tetapi Kementerian Pengajian Tinggi. Saya rasa SPRM kini sedang menyiasat kes baru,” katanya. – 7 November, 2017.
Komen