MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi dimasukkan terus ke akaun bank peribadi Najib Razak bagi “melancarkan” urusan dan mengelak “komplikasi” politik.
Bekas menteri hal ehwal Islam, Jamil Khir Baharom dalam keterangannya berkata beliau difahamkan demikian, alasan mengapa ia dibuat begitu, selepas menyaksikan mesyuarat antara almarhum Sultan Arab Saudi Abdullah Abdul Aziz Al-Saud dengan Najib pada 11 Januari, 2010.
Jamil, yang juga pesara jeneral mejar tentera, dalam keterangannya berkata beliau melihat kedua-duanya bercakap secara peribadi pada hujung mesyuarat itu.
“Jika saya tidak salah, Raja Abdullah sebut beliau akan hantar sumbangan tidak lama selepas mesyuarat itu dan berkata wang itu akan dimasukkan terus ke akaun bank peribadi Najib atas sebab tertentu.
“Saya difahamkan ia bagi melancarkan proses politik untuk Datuk Seri Najib dan juga kerana Raja Abdullah bimbang menyalurkan sumbangan itu ke entiti politik lain akan merumitkan cara wang itu dibelanjakan,” kata Jamil.
Saksi berkata beliau diberitahu oleh Najib yang juga memberitahu hal yang sama kepada bekas duta Malaysia ke Arab Saudi Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf dan menteri luar pada masa itu Anifah Aman.
Jamil, 59, berkata Raja Abdullah yang mangkat pada 2015, mahu Najib mengekalkan tadbir urus Malaysia yang “moderat” dan bagi membendung pengaruh Syiah dan ekstremisme agama di Malaysia. – 11 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen